
SUDAH lebih dua minggu berlalu sejak Israel melancarkan operasi besar-besaran yang dinamakan ‘Gideon Chariot’.
Operasi yang diilhamkan daripada kisah dalam kitab Bible ini kononnya bertujuan membangkitkan semangat Talut dalam menundukkan Jalut.
Namun, apakah hasil yang mereka peroleh? Sehingga kini, tiada kejayaan mutlak dicapai di Gaza.
Walaupun ribuan anggota tentera dikerahkan ke wilayah itu, disertai serangan bom tanpa henti terhadap penduduk awam yang tidak berdosa, rejim Zionis tetap gagal memaksa HAMAS untuk tunduk atau menyerah kalah.
Sebaliknya, yang mereka raih hanyalah kecaman dari pelbagai negara, termasuk ugutan sekatan daripada sekutu mereka sendiri. Perhatian masyarakat dunia kini semakin tertumpu kepada Gaza.
Di tengah-tengah arus propaganda yang mencengkam, dunia masih menyaksikan kebangkitan nurani manusia, bahawa kebenaran tetap berupaya menembusi tirai kebatilan. Malah, suara kekalahan kini mula keluar dari kalangan mereka sendiri.
Amit Halevi, pemimpin dari parti Likud, secara terbuka mengkritik Yoav Gallant, bekas Menteri Pertahanan Israel, kerana kegagalan menyelesaikan konflik Gaza dalam tempoh dua bulan seperti yang sepatutnya. Sebaliknya, peperangan ini berlarutan hingga hampir dua tahun tanpa sebarang kemenangan di medan tempur.
Amit turut menyatakan bahawa dalam sejarah peperangan mereka sebelum ini, Zionis berjaya menundukkan musuh-musuh mereka, tetapi tidak kali ini.
Kali ini, mereka berdepan gerakan HAMAS yang tetap utuh di Gaza. Ia adalah satu pengakuan kegagalan yang datang dari mulut mereka sendiri.
Konflik di Gaza kini menjadi antara yang paling panjang dalam sejarah pencerobohan rejim Israel. Siapakah yang mereka hadapi?
Bukan pasukan tentera moden dengan peralatan lengkap, tetapi sekumpulan pejuang yang hanya bersandarkan keberanian, keimanan dan kerinduan kepada syahid. Tiada kereta kebal. Tiada jet tempur. Hanya semangat jihad yang menjadi senjata utama.
Dalam menilai kekuatan sebenar dalam peperangan ini, umat Islam perlu mengimbangi logik akal dengan panduan wahyu.
Lihatlah firman Allah dalam Surah Al-Imran ayat 13 yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada satu tanda bagi kamu pada peristiwa dua pasukan yang bertemu (di medan perang), satu pasukan berjuang di jalan Allah dan satu lagi terdiri daripada golongan kafir.
“Mereka (orang kafir) melihat dengan mata biasa bahawa orang Islam dua kali ganda dari jumlah mereka sendiri. Dan Allah menguatkan sesiapa yang Dia kehendaki dengan pertolongan-Nya.”
Inilah janji Allah yang tetap berlaku. Musuh melihat para pejuang seolah-olah memiliki kekuatan berlipat ganda.
Rasa gentar itu bukan khayalan semata, tetapi ditanam sendiri oleh Allah ke dalam hati-hati mereka.
Inilah rahmat dan keberkatan perjuangan yang ikhlas – yang lemah mampu mengalahkan yang kuat dengan izin Allah.
Sebenarnya, pemilihan nama operasi ‘Gideon Chariot’ sendiri menyimpan simbolik yang besar.
Dalam naratif mereka, Talut bersama 300 tenteranya menumpaskan Jalut yang memiliki 135,000 anggota. Namun kini, mereka meletakkan HAMAS di posisi ‘Jalut’.
Secara tidak langsung, mereka mengakui bahawa HAMAS merupakan ancaman besar, meskipun dari sudut kelengkapan fizikal, ia jauh lebih kerdil dan terbatas.
Namun rasa takut menguasai mereka. Inilah hakikat pertolongan Allah yang sedang berlaku di Gaza.
Satu logik ketuhanan yang tidak mampu difahami oleh mereka yang hanya percaya kepada angka, senjata, dan kuasa manusia semata-mata.
Jangan kita tertipu dengan statistik dan data zahir. Musuh mungkin ramai. Kelengkapan mereka mungkin canggih. Tetapi Gaza telah membuktikan kemenangan itu milik Allah, bukan hasil pakatan kuasa besar:
“Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang memiliki pandangan mata hati.”
Maka wajarlah jika kita menilai konflik ini bukan hanya dengan neraca duniawi semata-mata.
Sebaliknya, analisis berdasarkan panduan Al-Quran itulah yang akan membimbing kita melihat makna sebenar perjuangan.
Moga ia menjadi peringatan, bukan sekadar mencetus kekaguman atau keputusasaan yang tidak membawa makna dalam keimanan kita. – HARAKAHDAILY 26/5/2025











