Pemilihan PKR ‘family planning’, sarat nepotisme

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara kini berada dalam keadaan kritikal apabila pentadbiran sedia ada gagal memenuhi harapan rakyat untuk melihat sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan berkaliber, kata Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

- Advertisement -

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), berkata pemilihan parti pemerintah PKR yang sarat dengan unsur nepotisme merupakan bukti terbaharu kepada kepincangan berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Madani.

“Jika ‘family planning’ dihalalkan dalam parti pemerintah, tiada jaminan nepotisme, kronisme serta salah guna kuasa tidak berlaku dalam kerajaan, bahkan sudah pun terjadi pelbagai isu libatkan integriti memalit Kerajaan Madani dan terkini isu MyKiosk.

“Bayangkan kerosakan besar ini berlaku hanya dalam tempoh separuh penggal dan ia mesti dihentikan kerana masa depan negara tidak boleh terus diperjudikan.

“Kita perlu ‘reset’ untuk membentuk suatu konsensus baharu yang lebih dipercayai dan diyakini rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Mas Ermieyati turut menyokong penuh idea Konsensus Nasional Baharu dilontarkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang merupakan kerangka besar untuk satu visi lebih realistik.

Beliau berkata, perkara itu untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia menerusi pembaikan menyeluruh terhadap struktur politik, ekonomi dan tadbir urus negara.

“Konsensus Nasional Baharu yang bertunjangkan tiga teras utama iaitu, matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus penuh ihsan. Ia bertujuan menyatukan semua kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan rakyat Malaysia.

“Ia adalah bukti PN sentiasa memikirkan kepentingan negara ketika pihak lain dalam kerajaan sibuk mencatur politik dan bertelagah berebutkan jawatan.

“Wanita Perikatan Nasional percaya bahawa, ‘Malaysia yang lebih baik bukan impian, namun ia adalah komitmen’,” tegas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Justeru, Wanita Perikatan Nasional melihat Konsensus Nasional Baharu ini sebagai peluang penting untuk memperkasa wanita sebagai peneraju utama dalam agenda pemulihan negara.

“Wanita bukan hanya sekadar penyokong di barisan belakang, tetapi pemegang amanah dalam pembentukan masa depan negara yang lebih adil, stabil dan berdaya saing,” katanya.

Terdahulu, Hamzah mencadangkan satu Konsensus Nasional Baharu dibentuk dengan matlamat menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, keperluan untuk membina konsensus tersebut lebih mendesak berbanding sebelum ini.

“Konsensus itu tidak boleh terhad kepada satu kaum, satu agama atau satu wilayah, tetapi menyatukan kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan rakyat.

“Pada pendapat saya, konsensus baharu itu mesti dibina atas tiga teras utama meliputi matlamat bersama, kemakmuran bersama serta tadbir urus yang penuh belas ihsan. Selain itu, Malaysia mesti bergerak melepasi zaman kelangsungan politik.

“Kita mesti menolak politik dendam dan menghidupkan semula semangat kenegaraan bersama,” katanya ketika membentangkan tajuk ‘A Bird’s-Eye View of the Malaysian Political Landscape – Building A New Consensus’ di Institut Yusof Ishak, Singapura, pada Khamis. – HARAKAHDAILY 25/5/2025

- Advertisement -