
KUALA LUMPUR: Himpunan Melayu Berdaulat yang berlangsung dengan aman dan penuh adab telah menghimpunkan lebih 7,000 peserta dari pelbagai latar belakang dan negeri-negeri di kawasan Sogo dan Kompleks Pertama, semalam.
Sekretariat Melayu Berdaulat sehubungan itu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang menjayakan himpunan itu, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas profesionalisme dan dedikasi memastikan kelancaran serta keselamatan perhimpunan.
“Terima kasih juga diucapkan kepada pengurusan Sogo, Kompleks Pertama dan seluruh warga sekitar lokasi yang memberikan ruang dan kerjasama, meskipun kami sedar ia mungkin memberi kesan kepada rutin harian.
“Kami merendah diri memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menginsafi bahawa usaha mempertahan maruah bangsa ini bukan tanpa pengorbanan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Sekretariat turut memuji para peserta yang hadir kerana menunjukkan contoh himpunan yang bermaruah, tertib dan penuh adab selari dengan prinsip Islam yang menekankan keamanan dan keadilan.
Mereka menyifatkan kehadiran yang begitu ramai sebagai lambang kebangkitan jiwa dan solidariti umat Melayu-Islam, serta mendukung prinsip Islam sebagai agama yang menjunjung keamanan dan keadilan.




“Kami menegaskan bahawa himpunan ini adalah bukti nyata bahawa suara Melayu-Islam boleh disampaikan dalam suasana aman, penuh hikmah dan menghormati undang-undang.
Justeru, Sekretariat Melayu Berdaulat turut menzahirkan doa agar segala usaha yang dilakukan diterima sebagai sebahagian daripada jihad amanah kepada agama, bangsa dan negara serta menyeru semua pihak untuk kembali kepada penyatuan yang hakiki.
Terdahulu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali sebagai mengetuai sekretariat gabungan itu menegaskan, perhimpunan tetap diteruskan walaupun tarikh itu bertembung dengan Persidangan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 28 Mei.
“Jadi kita tetap teruskan program dan tiada niat untuk mengganggu agenda kerajaan yang sedang mengadakan Persidangan ASEAN. Kebetulan tarikh itu bertindih, apa pun percayalah NGO-NGO kami ini antara rakyat yang berdisiplin, tidak suka huru hara.
“(Kami) hanya ingin meluahkan kegusaran dan kegelisahan kami sebagai rakyat biasa yang melihat keadaan semasa negara yang dipimpin oleh kerajaan semakin hari semakin lama kita lihat merugikan kepentingan Melayu dan Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2025














