
KUALA LUMPUR: Datuk R Ramanan Ramakrishnan yang berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang Naib Presiden PKR telah menimbulkan persoalan sama ada telah membersihkan diri dari serangan pembangkang satu ketika dulu.
Ia ditimbulkan oleh penganalisa politik Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff yang juga Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat dengan menyatakan kehairanan terhadap pemilihan Ramanan dalam Kongres PKR kelmarin.
Ini kerana Ramanan tidak begitu dikenali dan merupakan muka baharu dalam PKR dipilih mengisi jawatan tinggi dalam parti.
Ia berikutan tindakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mempertahankan pelantikan tersebut dengan menekankan bahawa faktor ‘kompetensi lebih penting daripada senioriti’.
Dalam satu hantaran media sosial Facebook, Nurul Islam berkata beliau tertarik untuk mengetahui latar belakang tokoh berkenaan setelah mendengar kenyataan Saifuddin yang turut memetik kisah Amru al-As untuk menjustifikasi prinsip tersebut dalam konteks pemilihan kepimpinan.
“Jujurnya aku pun tak kenal siapa Ramanan Ramakrishnan ni dan kenapa orang PKR pilih dan angkat dia,” tulisnya sambil menyatakan bahawa beliau telah membuat carian untuk menilai merit dan kompetensi yang disebut oleh Saifuddin.
Dalam carian tersebut, beliau merujuk kepada satu laporan Malaysiakini bertarikh 23 Januari 2014 yang memetik keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ramanan memulangkan RM5.5 juta kepada seorang pakar psikiatri, Tan Sri Dr T Mahadevan.
Menurut laporan itu, mahkamah memutuskan bahawa berlaku unsur salah nyata dalam urusan membabitkan kedua-dua individu tersebut pada tahun 2010.
Ramanan ketika itu dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung MIC tidak lama selepas keputusan tersebut diumumkan.
“Tiada pertuduhan jenayah difailkan terhadapnya, namun pembangkang melalui mendiang Karpal Singh menggesa agar pendakwaan dibuat ke atas Ramanan pada masa itu,” ujarnya.
Nurul Islam menyatakan bahawa beliau tidak menemui sebarang laporan lanjutan sama ada keputusan tersebut dirayu atau jika berlaku penyelesaian lain.
Beliau juga mengalu-alukan maklumat tambahan sekiranya ada dari kalangan ahli PKR atau pihak lain.
“Saya hanya berkongsi apa yang saya jumpa dalam carian umum, bukan buat tuduhan,” katanya sambil menyampaikan penghormatan kepada ahli PKR atas pelantikan Naib Presiden baru mereka.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh PKR berhubung hantaran tersebut. – HARAKAHDAILY 25/5/2025











