MyKiosk: Rakyat hendak tahu, Kor Ming jangan koyak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad, mengingatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar tidak bertindak secara defensif apabila rakyat mempersoalkan isu integriti dan ketelusan berkaitan projek MyKiosk.

- Advertisement -

Beliau berkata, tindakan Kor Ming yang mengajak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki minum teh dan dalam masa sama menyatakan kesediaan untuk disiasat menimbulkan persoalan dan kecurigaan dalam kalangan rakyat.

“Rakyat hendak tahu sahaja. Janganlah koyak. Kami sokong projek untuk kebaikan rakyat, tetapi menjadi musykilnya sebab harga kiosk itu RM25,000 sebuah,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tadi.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, turut menimbulkan persoalan berkenaan proses tender, keperluan setempat dan justifikasi terhadap harga yang dianggap tidak masuk akal.

“Kalau ikut apa yang disyaratkan, kualiti okay, tak apalah. Tapi rakyat hendak tahu masa buat kiosk dan tender itu, sudah ambil kira permintaan setempat ke? Sebab banyak lagi kiosk yang kosong.

“Bukankah ini satu pembaziran? Ini yang dikatakan gajah putih. Banyak mahal oh. Ini duit pembayar cukai,” tegas beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ustaz Idris juga turut mempersoalkan sama ada kiosk berkenaan benar-benar canggih sebagaimana dikatakan dan berbaloi dengan harga ditetapkan.

“Canggih sangat ke kiosk itu? Kontraktor yang dapat (tender) ini cara terbuka atau terus? Kualitinya macam mana?” soal beliau.

Dalam nada sinis, beliau turut menegur tindakan kerajaan kerama dilihat begitu mudah melaporkan pihak yang menimbulkan isu ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Jangan pula apabila rakyat hendak tanya dan sebar dalam media sosial, terus lapor kepada SKMM. Ingatlah balik zaman awak menjadi pembangkang dulu,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa isu ini perlu ditangani dengan telus, bukan dengan gurauan yang boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap kebebasan SPRM.

“Jangan pula apabila rakyat bangkit isu ini, boleh bergurau untuk ajak SPRM minum teh,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2025

- Advertisement -