PAS Kubang Kerian desak banteras judi atas talian

Zulkifli (paling kanan)
- Advertisement -

KUBANG KERIAN: Mesyuarat Agung Tahun (MAT) PAS Kawasan Kubang Kerian semalam meminta kerajaan membanteras kiosk judi atas talian yang dilihat semakin berleluasa.

- Advertisement -

Usul yang dibawa oleh perwakilan PAS Cawangan Kedai Piah itu diumumkan oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian, Ustaz Zulkifli Husain pada sesi membahas usul-usul semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk menyita premis didapati menjalankan perjudian dan penjualan nombor ekor secara atas talian.

“Kita menerima isu ini sebagai usul yang diterima tanpa bahas dan akan dibawa kepada pengetahuan kerajaan negeri dan pihak berwajib membanteras kegiatan judi dilakukan dalam talian.

“Kita PAS Kawasan Kubang Kerian memandang serius aktiviti ini dan kita akan hantar usul ini untuk tindakan kerajaan negeri,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan semalam.

Zulkifli berkata, kerajaan negeri dibawah pemerintahan PAS sejak tahun 1990 bertindak tegas tidak mengeluarkan lesen bagi premis menjalankan aktiviti judi dan penjualan nombor ekor.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan penduduk membuat aduan polis selepas mendakwa terdapat premis berselindung sebalik kedai aksesori telefon menjalankan judi dalam talian.

Aktiviti tersebut dikesan berlaku seluruh daerah di Kelantan termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu bahkan mendakwa sudah beroperasi sejak lima tahun lalu tanpa sekatan pihak berkuasa.

Malah Polis Kelantan turut mendedahkan jajahan Kota Bharu merekodkan kes judi atas talian tertinggi sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tahun 2023.

Pasir Mas merupakan kawasan kedua sebanyak 27 kertas siasatan diikuti Tanah Merah 24, Machang 23, Tumpat 17 dan Jeli 10, sembilan Bachok dan Pasir Puteh, lima Gua Musang dan dua Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 25/5/2025

- Advertisement -