Wakil PAS suara isu rakyat di Sidang DUN Johor

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Abd Aziz Talib (PN-Maharani) mengangkat banyak isu kehidupan rakyat ketika mengambil bahagian dalam perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, kelmarin.

- Advertisement -

Antaranya beliau membangkitkan isu peluang pekerjaan kepada golongan muda di Daerah Muar dan menyarankan Maharani Energy Gateway dijadikan pintu peluang pekerjaan kepada golongan tersebut.

Beliau juga turut menyentuh berkenaan bebanan para guru, terutama yang terlibat dengan program Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), diberi perhatian kerajaan.

“Perkara perlu dipantau serta dikaji selidik dengan tepat,” kata Abd Aziz yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Muar selaku wakil tunggal PAS di DUN Johor pada penggal ini.

Sementara itu beberapa perkara lain turut disentuh beliau adalah berkenaan kuota penerima elaun guru Al-Quran yang disarannya agar dinaikan kepada 60 peratus kepada penerima.

Kerajaan negeri juga gesanya agar memberi perhatian kepada pembangunan Rumah Sejahtera Warga Emas dan Rumah Transit Gelandangan khususnya di daerah Muar.

Pohon beliau, kerajaan negeri juga perlu menubuhkan cawangan baharu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Daerah Tangkak, selain menyediakan kenderaan bagi petugas tersebut di Muar.

“Selain itu, saya juga ingin menarik perhatian semua YB khususnya dari pihak kerajaan, agar memberi perhatian kepada golongan asnaf termasuk anak-anak yang kematian ibu.

“Wujudkan akta khususnya dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengawal selia mereka ini kerana kebanyakan anak-anak asnaf ini datangnya dari keluarga bermasalah,” cadang beliau.

Dalam pada itu, Abd Aziz juga turut mencadangkan peruntukan dana kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Muar (PKAYIM) dinaikkan memandangkan kos operasi meningkat.

Beliau turut menarik perhatian Dewan kepada hal berkaitan Perpustakaan Awam di Bandar Muar yang katanya perlu diletakkan lokasi sesuai dan mudah diakses kepada masyarakat.

“Ini demi memastikan masyarakat diterapkan dengan budaya ilmu,” tambah Abd Aziz turut mengharapkan kerajaan negeri mengambil perhatian berkenaan kos harga rumah di Daerah Muar yang semakin tinggi.

Termasuk juga kata beliau, kos sewaan rumah yang meningkat dan semakin mahal di mana dari aspek sara hidup di Muar, ia sudah hampir sama seperti di bandar besar seperti Johor Bharu.

“Malah isu Taman Perbadanan Islam Bandar Maharani juga telah tertangguh lama,” katanya memberi peringatan untuk perkara tersebut diberi perhatian kerajaan.

Berikutan masalah tersebut, beliau mencadangkan agar diwujudkan
Rumah Transit Bangsa Johor bagi pasangan yang baharu mendirikan rumahtangga.- HARAKAHDAILY 24/5/2025

- Advertisement -