Ahli PAN lari, bertanding dalam parti rakan sekutu

- Advertisement -

SEBELUM ini memang saya ada dengar dan baca bahawa ramai ahli PAN berhijrah ke parti lain terutamanya ke PKR. Tapi apabila membaca kenyataan Setiausaha Agung PAN bahawa 58 ahli PAN dipecat kerana sertai pemilihan parti lain maka nampaklah benar ianya berlaku.

Tahun 2021, tindakan tiga ADUN PAN di Johor isytihar masuk PKR amat mengejutkan kerana mereka bertukar parti yang berada dalam gabungan yang sama iaitu PH. Timbalan Presiden PAN, almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi respon bahawa adalah tidak manis PKR menerima kemasukan ADUN dan Ahli PAN namun Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR pada masa itu memberi respon balas bahawa ianya bukanlah perkara luar biasa.

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Pusat, Syukri Razab memberi respon bahawa politik ‘bermuka-muka’ mungkin menjadi punca ADUN PAN menyertai PKR yang beliau kata lebih jelas dan tegas atas prinsip.

Baru-baru ini, seorang calon Majlis Pimpinan Pusat PKR yang juga merupakan mantan ADUN PAN di DUN Meru Selangor tetapi telah menyertai PKR pada tahun 2020; Mohd Fakhrulrazi Mokhtar turut menyatakan sikapnya kepada Presiden PAN yang dilihat ‘cakap tak serupa bikin’ sehingga menyebabkan beliau berpindah ke PKR.

Jika dilihat dengan rentetan peristiwa yang berlaku ini, maka nampak gayanya PAN sedang menghadapi dilema kerana ahli PAN sudah nampak tidak yakin dengan PAN sehingga 58 ahli PAN masuk PKR dan bertanding merebut jawatan-jawatan dalam PKR. Itu belum lagi mereka yang diberikan surat tunjuk sebab kerana disyaki terlibat sama.

Jika PAN serius, sepatutnya isu ini dibincangkan dengan PKR supaya jangan curi ADUN dan ahli PAN tetapi bila ADUN PAN melompat ke PKR pun, PAN tidak mampu berbuat apa-apa. Maka tidaklah pelik semakin ramai Ahli PAN akan lari keluar selepas ini.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Penolong Setiausaha Agung PAS – HARAKAHDAILY 24/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -