
NURUL Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu. Beliau bukan sekadar mewarisi nama reformasi atau menjadi anak sulung kepada Anwar Ibrahim, tetapi sedang disusun dengan teliti untuk mengisi tempat ayahandanya sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Perkembangan ini membawa cabaran besar, khususnya kepada Muslimat. Ia bukan isu dalaman parti lawan semata-mata, tetapi percaturan yang memberi kesan langsung kepada hala tuju politik negara.
Wanita memiliki daya tarikan yang tersendiri. Kehadirannya menarik perhatian dan menyentuh hati ramai, terutama pengundi wanita yang kini menjadi majoriti dalam daftar pemilih. Jika kita alpa, gelombang ini mampu melanda tanpa sempadan dan mengubah wajah politik tanah air.
Inilah yang perlu diperhatikan oleh Muslimat dengan penuh teliti. Telah tiba saatnya untuk menyemak semula strategi, merombak pendekatan, dan memperhalusi cara berfikir. Politik bukan ruang simpati atau pentas menanti nasib, tetapi medan siasah yang menuntut kecerdasan membaca masa dan keberanian bertindak tepat.
Jangan terperangkap dalam nostalgia perjuangan yang beremosi tetapi tandus kefahaman. Kita pernah terpesona dengan gaya dan kata, namun akhirnya menanggung luka sendiri. Kesilapan itu tidak boleh diulang. Masa untuk bangkit dengan kesedaran baharu, semangat yang lebih jitu, dan kefahaman yang lebih mendalam.
Muslimat mesti bangkit sebagai benteng hadapan dan menjadi sayap utama perjuangan. Wanita dalam gerakan Islam tidak lagi wajar dilihat sebagai pelengkap program, tetapi sebagai jentera penggerak ummah. Ibarat burung, jika sebelah sayapnya lemah, ia tidak akan terbang tinggi, akan jatuh, terseret, dan tidak lagi berdaya menempuh angin.
Dalam arus perjuangan hari ini, fatonah perlu diangkat semula ke tempatnya yang hakiki. Ia bukan sekadar bijak akademik, tetapi kecerdasan dalam siasah. Membaca gerak lawan, mengenal peluang dalam diam, membuat keputusan pada waktu yang tepat, dan bergerak mengikut irama zaman.
Tanpa fatonah, sejarah mengulang luka yang sama. Abu Musa al-Asy’ari, sahabat Nabi yang jujur dan mencintai perdamaian, akhirnya diperdaya oleh kelicikan Amru bin al-As dalam peristiwa Tahkim. Kedudukan politik Saidina Ali tergugat bukan kerana lemahnya iman, tetapi kerana kealpaan membaca muslihat. Sejarah tidak pernah berdusta, ia hanya menunggu diulang oleh mereka yang tidak mahu belajar.
Semangat sahaja tidak cukup jika umat tidak tajam dalam bacaan politik. Di Indonesia, Mohammad Hatta tenggelam dalam naratif yang dikaburi kuasa. Di Pakistan, impian Iqbal dan perjuangan Jinnah dilitupi bayang sistem sekular dan kekuasaan tentera. Di Tanah Melayu, Tok Janggut pernah digambarkan sebagai penderhaka. Penjajah menulis sejarah agar generasi selepas melupakan bahawa darah yang mengalir itu adalah kerana prinsip dan maruah. Mereka tidak tewas kerana lemah, tetapi kerana umat gagal menjaga kuasa.
Saya tegaskan sekali lagi, politik ialah pentas besar tempat akidah diuji dan harga perjuangan ditentukan. Malangnya, masih ada yang memegang sangka baik bahawa siapa pun memerintah, Islam akan terus terpelihara. Itulah racun yang paling halus yang membunuh dalam diam. Islam tidak dipelihara dengan laungan, tetapi ditegakkan dengan kuasa yang amanah dan tindakan yang terancang.
PAS tidak boleh kekal dalam zon selesa. Kita mesti melangkah lebih jauh daripada sekadar retorik dan rutin. Kita perlu pantas, tersusun, dan menyentuh nadi rakyat. Seperti bubur asyura, walau ramuannya berbeza, namun menyatu dalam rasa yang mengenyangkan umat yang dahagakan kepimpinan.
PRU akan datang bukan sekadar ulangan lima tahun sekali. Ia medan luar jangka, dengan penyusunan lawan yang mungkin sukar diduga. Jika benar PH dan BN bergabung, risiko kehilangan kerusi di Kelantan bukan kecil, hingga 15 kerusi boleh terlepas, belum termasuk kawasan yang sedia goyah. Jangan kita jadi arnab yang ghairah di permulaan tetapi rebah di hujung perlumbaan. Ini bukan cerita dongeng untuk menakutkan, tetapi ibrah yang hidup. Al-Quran juga tidak menyampaikan kisah untuk hiburan, tetapi agar jiwa yang beriman dapat membaca makna dan mengambil langkah.
Bersedialah! Jangan tunggu amaran bertukar menjadi serangan baru kita mahu bergerak. Perjuangan ini tidak runtuh kerana kekuatan musuh, tetapi kerana kelalaian sendiri. Bila ukhuwwah longgar, kefahaman kabur, dan kesetiaan dikhianati, benteng perjuangan mula retak. Teguhkan saf. Jadikan jemaah ini seperti keluarga, bukan sekadar bersama saat senang, tetapi saling memikul beban saat getir. Hanya dengan itu kita mampu memimpin, bukan hanya bertahan.
Allah tidak sekadar memuliakan wanita, tetapi menitipkan amanah besar di bahu mereka sebagai penjaga risalah ummah, pemikul harapan masa depan, dan pencetus gelombang perubahan. Bangkitlah, bukan untuk bersaing dengan lelaki, tetapi untuk menunaikan peranan yang tidak mungkin diganti oleh sesiapa pun.
MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 24/5/2025











