
KUALA LUMPUR: Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) perlu memperkasa diri untuk menjadi pencetus idea di dalam dan di luar kampus, menjadi intelektual awam dan pemimpin masyarakat dalam mendepani masa depan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah yang juga mantan Presiden PBMUM berkata, PBMUM punya bidang kebitaraannya, iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.
“PBMUM memberikan pengertian lebih luas terhadap kebudayaan, iaitu merangkumi seluruh spektrum kehidupan, iaitu sosial, ekonomi dan politik,” ujarnya sempena Sambutan Ulang Tahun ke-70 PBMUM, hari ini.
Justeru seru Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu, program-program PBMUM bersifat bersama dan untuk masyarakat, serta menuntut ditegakkan nilai-nilai seperti kebenaran, keadilan dan kemakmuran.
“PBMUM menggunakan pelbagai pendekatan dan orientasi dalam melaksanakan program-programnya. PBMUM telah melahirkan ramai pemimpin, termasuk dalam politik.
“Seterusnya, saya berharap PBMUM meneruskan perjuangan menegakkan universiti yang punya roh dan gedung ilmu yang menegakkan kebebasan dan kecemerlangan akademik.
Beliau merujuk saranan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Hamzah Zainudin bahawa Malaysia memerlukan Konsensus Nasional Baru.
“Saya berpendapat ini termasuk amalan Politik Baru, iaitu ‘politik perjuangan’ yang punya tiga rukun, iaitu idealisme yakni berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan nilai-nilai tinggi dan murni.
“Juga aktivisme yakni kesediaan secara sukarela dan berkorban untuk merealisasikan idealismenya dan intelektualisme iaitu menghayati budaya ilmu dalam idealisme dan aktivisme,” ujarnya.
Jelas bekas Menteri Luar Negeri itu, politik perjuangan punya ciri-ciri bersih dan segar, iaitu politik ilmu bukannya politik ampu, politik hikmah bukannya politik fitnah, dan politik bakti bukannya politik undi.
“Justeru, saya menyeru mahasiswa menceburi politik untuk menyertai ‘politik perjuangan’. PBMUM khasnya, dan kampus amnya, mampu menjadi sekolah politik yang ampuh,” ujarnya memberi harapan. – HARAKAHDAILY 24/5/2025











