
LANGKAWI: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pembukaan Pameran Malaysia International Boat Show 2025 (MYBOS ’25) yang diadakan di Royal Langkawi Yatch Club, di sini kelmarin.
Pameran diadakan buat julung itu diadakan serentak dengan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA ’25), bermula 20 Mei lalu hingga 24 Mei depan yang menampilkan 100 pertunjukan udara dan permukaan air 12 negara.
Pameran MYBOS ’25 yang menampilkan kecanggihan kapal, teknologi lestari dan inovasi gaya hidup marin itu turut mempunyai objektif tersendiri.
Ia merangsang perjanjian perdagangan rentas sempadan melibatkan beberapa negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia serta memberikan pengalaman kekayaan budaya dan keindahan warisan geopark di Pulau Langkawi sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Selain itu, MYBOS ’25 juga mampu mewujudkan sinergi erat antara agensi kerajaan dan organisasi industri bagi mengangkat kedudukan Malaysia sebagai pusat pelayaran utama di Asia Tenggara.
Di samping itu, pameran ini turut menawarkan forum industri, sesi padanan perniagaan dan Malaysia Yachting Conference, selain membuktikan potensi besar sektor maritim Malaysia untuk terus berkembang.
MYBOS ’25 bermatlamat menjadikan Pulau Lagenda Mahsuri itu sebagai hab utama pelayaran dan pelancongan marin di Asia Tenggara.
Dengan menghimpunkan pelbagai pemain industri seperti pengeluar bot-bot antarabangsa, pengusaha sewaan bot, para pembekal peralatan pihak pengurusan kewangan serta pembuat dasar dalam satu pentas.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Keusahawan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata LIMA ’25, dan MYBOS ’25 merupakan antara puncak acara yang terus melonjakkan nama Langkawi dan negeri Kedah ke persada antarabangsa, terutama sempena TMK 2025 ini.
Keberangkatan Sultan Kedah merasmikan majlis tersebut, diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh berserta Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.
Turut hadir, Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi MYBOS ’25, Datuk Mohammed Radzi Manan.
Pameran MYBOS ’25 berlangsung bermula kelmarin hingga 24 Mei, esok. – HARAKAHDAILY 23/5/2025











