
KUALA TERENGGANU: Ketiadaan wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak menjejaskan kelangsungan dan kebertanggungjawaban pentadbiran kerajaan negeri.
Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, sebaliknya semua urusan kerajaan dilaksanakan atas prinsip takwa dan rasa tanggungjawab.
Prinsip tanggungjawab itu jelasnya, bermaksud memikul amanah dan bersedia untuk menjawab segala tindakan, bukan sahaja di hadapan manusia tetapi lebih penting di hadapan Allah SWT.
“Salah satu soalan yang ditanya dalam program bersama pimpinan JPKK DUN Jabi malam tadi (kelmarin) ialah apa kesannya bila Kerajaan Terengganu sekarang tak ada pembangkang?
“Tak ada pembangkang yang difahami ialah dengan makna tiada wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu. Makna lain, semua calon PH-BN kalah di Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri 2023.
“Kita meletakkan prinsip kerja atas dasar takwa dan tanggungjawab. Kalimah tanggungjawab berasal dari dua perkataan iaitu tanggung dan jawab.
“Dengan makna kita tanggung sesuatu amanah dan nanti kita perlu jawab. Jawab di hadapan manusia tak rumit sangat. Yang paling berat ialah nak jawab depan Allah seksok (nanti),” katanya berkongsi di media sosial.
ADUN Jabi itu berkata, ketika wujud pembangkang dalam penggal terdahulu, hanya tiga kali sesi Dewan bersidang dalam setahun, dan perbahasan daripada pembangkang juga tidak memberi cabaran besar kepada kerajaan negeri.
“Masa ada pembangkang maka kita perlu jawab dalam Sidang Dewan Undangan Negeri. Itupun Dewan bersidang tiga kali setahun sahaja.
“Ketika Kijal, Seberang Takir dan rakan-rakan ADUN BN ada dalam Dewan penggal lepas, saya rasa soalan-soalan dan intipati perbahasan mereka biasa-biasa saja tanpa ada yang luar biasa.
“Semuanya kita dapat jawab dengan hujah dan fakta. Malah menjadi kebiasaan bagi Kijal, bangkitkan sesuatu isu dalam ucapan kemudian keluar buat sidang media.
“Bila kita nak jawab dalam ucapan penggulungan, dia tak ada dalam Dewan. Tak ‘gentleman’ dan bukan wakil pembangkang yang berjiwa besar kalau sikap sebegini,” terangnya.
Dr Azman berkata, keberkesanan kerja dan integriti pentadbiran kerajaan negeri bukan bergantung kepada wujudnya pembangkang semata-mata, tetapi atas rasa bertanggungjawab yang tinggi kepada rakyat dan keinsafan terhadap kehidupan selepas mati.
“Kalaulah kerja kita berjalan kerana adanya pembangkang, ianya taklah besar sangat. Yang lebih utama ialah kita ada Allah yang memerhatikan setiap detik dan setiap perilaku hamba-Nya.
“Kita ada rakyat yang meletakkan harapan tinggi agar amanah ini dipikul sebaiknya dan yang paling berat, kita ada kehidupan selepas mati di mana semua amalan kita akan dihisab. Inilah yang paling menakutkan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2025











