Mansuh PTPTN jadi modal, sandiwara politik murahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Janji untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijadikan modal politik yang sangat mudah dimainkan.

- Advertisement -

Ketua Wirawati PUTRA Malaysia, Nurhafizah Jamalludin berkata, hal tersebut kerana ia membangkitkan harapan tinggi dalam kalangan pelajar dan graduan yang terbeban dengan hutang pendidikan.

Namun menurut beliau, apabila janji itu gagal ditunaikan, ia mencetuskan rasa kecewa dan pengkhianatan sepertimana reaksi sedang ditunjukkan khususnya oleh anak muda kini.

“Akibatnya, semakin ramai anak muda mula melihat ahli politik seperti Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim sebagai tidak jujur dan hanya bersandiwara untuk mendapatkan undi.

“Ini sekali gus menyebabkan kemerosotan keyakinan terhadap sistem politik dan demokrasi itu sendiri. Adam Adli jangan terus berdalih atau bersandiwara dengan isu PTPTN.

“Sudah menjadi Timbalan Menteri pun masih gagal melaksanakan pemansuhan pinjaman PTPTN atau memperkenalkan alternatif yang lebih adil, malah beban kewangan terus ditanggung oleh golongan muda.

“Ramai graduan termakan janji-janji Adam Adli, menghadapi kesukaran memulakan hidup, membeli rumah, atau menyimpan wang kerana perlu membayar pinjaman PTPTN, malah ada disenaraihitamkan dalam sistem kewangan,” katanya menerusi kenyataan.

Nurhafizah berkata, janji pemansuhan pinjaman PTPTN adalah contoh klasik politik populis dimainkan terutama oleh Adam Adli yang mana menjanjikan sesuatu sangat digemari rakyat, tetapi tiada formula pelan kewangan atau dasar jangka panjang jelas.

“Ia memberi gambaran bahawa ahli politik tidak peduli tentang kelangsungan institusi atau kesan fiskal kepada negara, sebaliknya hanya mengejar kemenangan pilihan raya.

“Budaya ini membahayakan struktur demokrasi negara kerana menormalisasikan penipuan politik dan mengorbankan dasar realistik demi retorik kosong.

“Sudah terang lagi bersuluh, Adam Adli tidak mampu menyusun strategi, merancang, membina dasar yang realistik untuk masa depan pendidikan negara.

“Hanya cakap kosong dan beretorik sepanjang menjadi aktivis pelajar apatah lagi selepas menyertai PKR dan menjadi Timbalan Menteri,” katanya.

Beliau berkata, ramai anak muda menjangkakan Adam Adli akan menghidupkan kembali perjuangan pendidikan percuma, namun tiada dasar konkrit atau panduan pendidikan percuma diumumkan oleh beliau secara jelas sehingga kini.

“Inilah dia ‘eksploitasi politik popular’, masih belum ada langkah dengan idealisme tulen. Apakah ini bermaksud realiti pentadbiran perlu dicabar?” katanya.

Justeru, Wirawati PUTRA berharap rakyat terutama pengundi muda perlu matang menilai antara janji dan realiti bila tiba musim pilihan raya nanti.

Terdahulu, Adam Adli di sebuah ‘podcast’ berkata, meskipun impian rakyat untuk mendapatkan pendidikan percuma adalah satu aspirasi murni, namun pelaksanaannya menuntut komitmen yang jauh lebih besar daripada sekadar iltizam politik.

“Pendidikan percuma cita-cita semua dan menjadi cita-cita kerajaan juga memberi pendidikan percuma kepada rakyat. Namun, cita-cita ini susah. Ia bukan hanya boleh dilaksana dengan iltizam politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2025

- Advertisement -