
KUALA LUMPUR: Kontrak sosial tidak wujud secara langsung dalam Perlembagaan Persekutuan, namun konsepnya tetap terserlah dalam sejarah pembentukan negara, khususnya ketika proses mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pemberian kewarganegaraan kepada golongan bukan peribumi yang dibawa masuk oleh penjajah British menjadi asas kepada kontrak sosial yang difahami hari ini.
“Secara termanya, kontrak sosial itu tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan secara perkataannya, tetapi dari segi sejarah, ia sangat penting untuk difahami semua.
“Apabila kita merdeka pada 31 Ogos 1957, maka bertambah rakyat Malaysia pada waktu itu kerana mereka yang sebelumnya bukan penduduk asal, (telah) diberi kewarganegaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung TikTok Bual Bicara 360 anjuran Perspektif 360° bertajuk ‘Himpunan Melayu Berdaulat’, pada malam tadi.
Muhammad Rafique menjelaskan bahawa buruh dari China, India dan pelbagai tempat lain dibawa masuk oleh British bagi mengeksploitasi sumber alam negara demi kepentingan industri dan peperangan empayar tersebut.
“British memerlukan buruh dan sebab itulah ramai yang dibawa masuk. Kita semua tahu mereka datang ke Tanah Melayu bukan kerana suka-suka, tetapi kerana hasil bumi kita seperti bijian, mineral, getah dan semua yang diambil untuk dikumpulkan kekayaan,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa kemerdekaan Malaysia dicapai melalui rundingan damai dan bukan pertumpahan darah, berbeza dengan beberapa negara lain.
“Bila kita merdeka harus kita ingat, sejarah tidak boleh menipu. Mereka yang gagal memahami sejarah, George Santayana mengatakan akan rugi. Jadi, sejarah telah mengajar kita? Jauh berbeza daripada negara lain.
“Kita memperoleh kemerdekaan melalui perang dan perundingan, dan bukan dari segi pertumpahan darah. Saya akur dan faham bahawa memang nenek moyang kita dulu memperjuangkan kedaulatan negara ini dan ada perang dan sebagainya.
“Tapi untuk khusus memperoleh kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British itu, kita pergi ke meja rundingan. Di situlah sebenarnya kebijaksanaan pemimpin-pemimpin dulu,” katanya.
Justeru, beliau menggesa rakyat Malaysia agar memiliki dan memahami Perlembagaan Persekutuan, yang disifatkannya sebagai dokumen paling penting dalam negara.
“Saya mohon semua orang harus ada satu salinan Perlembagaan Persekutuan di rumah atau pejabat untuk benar-benar memahami hak dan tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2025











