Melayu bukan rasis, hanya bersuara tuntut keadilan

Mohd Nor Izzat Mohd Johari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang Melayu tidak pernah bersikap rasis, sebaliknya sentiasa memberi ruang kepada semua kaum untuk maju bersama di Malaysia, kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

- Advertisement -

Menurutnya, tanggapan negatif terhadap orang Melayu sering dilemparkan apabila isu-isu berkaitan bangsa dibangkitkan, namun realitinya orang Melayu tidak pernah mempertikai hak berkaitan kaum lain.

“Bila bercerita tentang Melayu saja terus dilabel rasis. Hakikatnya kita orang Melayu ni tak pernah pun mengganggu kejayaan sesiapa. Dalam bidang ekonomi misalnya, 10 orang terkaya di Malaysia bukan orang Melayu.

“Itu sudah membuktikan bahawa kita orang Melayu tidak pernah mempertikai atau mengganggu gugat mana-mana kaum untuk berjaya dalam negara ini. Itu belum kita sentuh soal penguasaan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung TikTok Bual Bicara 360 anjuran Perspektif 360° bertajuk ‘Himpunan Melayu Berdaulat’, malam tadi.

Nor Izzat menegaskan, walaupun orang Melayu sering bersabar dalam isu-isu melibatkan kepentingan mereka, semakin banyak tindakan yang dianggap menekan hak dan kedudukan Melayu telah memaksa untuk bersuara demi menuntut keadilan.

“Kita dah lama bersabar. Bila makin banyak perkara berlaku yang menekan hak dan kedudukan kita, maka kita tiada pilihan melainkan untuk bersuara, dan suara ini bukan untuk menindas, tetapi untuk menuntut keadilan,” katanya.

Beliau memberi contoh usaha menggalakkan orang Melayu menyokong produk-produk keluaran Muslim disalah tafsir sebagai tindakan rasis, sedangkan seruan itu bukan untuk menindas sesiapa, sebaliknya satu langkah membina kekuatan ekonomi dalam kalangan umat Islam sendiri.

“Kita ajak orang kita utamakan produk-produk Bumiputera Muslim, tapi terus dianggap rasis. Sedangkan ini soal kesedaran ekonomi, bukan kebencian.

“Apa yang kita makan, apa yang kita beli semua itu beri kesan ekonomi. Kita kerja cari rezeki, cari duit untuk keluarga, tapi dalam masa sama kita juga boleh bantu peniaga kita dan negara,” katanya.

Justeru, beliau turut memaklumkan bahawa Himpunan Melayu Berdaulat yang dianjurkan oleh Sekretariat Melayu Berdaulat akan diteruskan pada Sabtu ini di hadapan Sogo, di sini, sebagai simbol penyatuan dan kebangkitan suara orang Melayu.

“Ini bukan soal politik kepartian, tapi soal menyatukan suara dan kekuatan ekonomi Melayu dan umat Islam. Kita jemput semua yang sehaluan demi perjuangan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2025

- Advertisement -