Iran-AS dalam rundingan, tetapi Israel nak serang Iran?

Risikan dedah rancangan Israel, ketegangan bakal memuncak?

Iran dan Amerika Syarikat
- Advertisement -

WASHINGTON, Amerika Syarikat: Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus memuncak apabila risikan AS mendedahkan bahawa Israel sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan terhadap fasiliti nuklear Iran, walaupun rundingan antara Washington dan Tehran dijadual diteruskan di Rom hari ini.

- Advertisement -

Menurut laporan CNN yang memetik beberapa pegawai risikan AS, Israel dipercayai sedang mengambil langkah persiapan ketenteraan termasuk mobilisasi senjata dan penamatan latihan udara, dalam langkah yang dilihat sebagai potensi tindakan ketenteraan terhadap program nuklear Iran.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada rejim Israel telah membuat keputusan muktamad untuk menyerang, memandangkan dalam kalangan pentadbiran AS sendiri wujud pandangan berbeza mengenai kemungkinan serangan itu yang dijangka bergantung kepada perkembangan rundingan nuklear yang sedang berlangsung.

“Prospek serangan Israel meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya selepas rundingan yang dimediasi oleh AS di bawah pentadbiran Trump gagal menghapuskan sepenuhnya simpanan uranium Iran,” kata satu sumber risikan kepada CNN.

Presiden Donald Trump turut memberi amaran bahawa beliau tidak akan membenarkan Iran membangunkan senjata nuklear, sambil memberikan tempoh 60 hari kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, untuk menunjukkan kemajuan dalam rundingan, namun tempoh itu kini telah pun tamat.

Seorang diplomat Barat berkata, AS mungkin hanya memberi masa beberapa minggu lagi sebelum mempertimbangkan tindakan ketenteraan, walaupun pendirian rasmi Washington ketika ini masih memfokuskan kepada usaha diplomasi.

Sementara itu, Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi, mengesahkan bahawa rundingan antara AS dan Iran akan diteruskan di Rom hari ini, meskipun wujud perbezaan ketara antara kedua-dua pihak mengenai isu pengayaan uranium.

AS menegaskan mahu Iran menghentikan sepenuhnya aktiviti pengayaan uranium yang boleh digunakan untuk menghasilkan bahan api nuklear dan berpotensi dijadikan senjata.

Ketua perundingnya, Steve Witkoff, menyifatkan ia sebagai ‘garis merah’ serta menegaskan Washington tidak boleh benarkan walaupun satu peratus keupayaan pengayaan dalam sebarang perjanjian.

Bagaimanapun, Iran bertegas bahawa pengayaan uranium adalah haknya sebagai sebuah negara berdaulat, dengan Ayatollah Khamenei menyifatkan tuntutan AS sebagai ‘karut’ serta menegaskan bahawa Tehran tidak memerlukan kebenaran Washington untuk memperkayakan uranium.

“Kami tidak akan berhenti memperkayakan uranium. Ini adalah hak mutlak kami seperti yang dijamin oleh perjanjian antarabangsa,” kata beliau dalam kenyataan yang dipetik agensi berita Mehr.

Iran turut menafikan dakwaan bahawa mereka sedang membangunkan senjata nuklear, dan menjelaskan bahawa pengayaan uranium dilakukan untuk tujuan awam.

Sejak Trump kembali ke Rumah Putih bagi penggal kedua pada Januari lalu, beliau telah memperbaharui dasar ‘tekanan maksimum’ terhadap Iran, termasuk menyekat eksport minyak negara itu ke China dan mengenakan pelbagai sekatan ekonomi tambahan.

Iran kini disifatkan musuhnya sebagai berada dalam kedudukan paling lemah susulan serangan Israel ke atas fasiliti pertahanan udara dan kilang peluru berpandunya pada Oktober lalu, selain tekanan dan sekatan terhadap sekutu-sekutunya yang cuba melemahkan pengaruhnya di rantau Asia Barat.

Laporan CNN juga menyebut Israel melihat kelemahan Iran sebagai peluang strategik untuk bertindak, dengan AS turut meningkatkan pemantauan risikan dan bersedia membantu sekiranya berlaku konflik berskala besar.

Namun sumber dalam pentadbiran Trump menyatakan bantuan itu hanya akan diberikan jika terdapat provokasi besar daripada pihak Tehran.

Beberapa pemerhati antarabangsa menyatakan bahawa Israel tidak mampu memusnahkan keseluruhan program nuklear Iran secara bersendirian, sebaliknya memerlukan bantuan ketenteraan AS termasuk pengisian minyak di udara dan penggunaan bom berkuasa tinggi untuk menembusi fasiliti bawah tanah.

Ketegangan ini memuncak ketika rundingan antara AS dan Iran masih tergantung, dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan bahawa ‘tiada sebarang senario’ di mana Iran akan bersetuju untuk menghentikan pengayaan uranium.

“Iran hanya boleh kawal apa yang kita lakukan sendiri, dan kami memilih untuk tidak berunding secara terbuka, terutamanya apabila terdapat percanggahan antara kenyataan awam dan peribadi AS yang berubah-ubah dari minggu ke minggu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Dalam konteks yang semakin mencabar ini, rundingan di Rom hari ini (Jumaat, 23 Mei) dijangka menjadi medan ujian penting kepada sejauh mana kedua-dua negara sanggup berkompromi demi mengelakkan konflik yang lebih besar di Timur Tengah. – HARAKAHDAILY 23/5/2025

- Advertisement -