Kelantan akan terus bersinar di Liga Super – Annuar

Annuar Musa beramah mesra dengan pemain dan peminat cilik Kelantan
- Advertisement -

KOTA BHARU: “Liga akan mati? Insya-Allah tidak,” demikian keyakinan yang dilontarkan oleh Tan Sri Annuar Musa berhubung masa depan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini.

- Advertisement -

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu berikrar akan membantu dan memastikan saingan berprestij bola sepak tempatan iaitu Liga Malaysia tidak akan mati.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak supaya terus berikhtiar dan tidak menuding jari berhubung masalah tersebut.

Beliau menyeru semua pihak agar berganding bahu demi memastikan bola sepak Kelantan kembali bangkit dengan lebih berdaya saing.

“Kelantan akan bersaing di Liga Super, insya-Allah. Kita urus cara kita, serta belajar dari kelemahan masa lalu,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya komited untuk tidak membiarkan pasukan Kelantan terus menjadi ‘belasahan’, sebaliknya akan tampil dengan kejutan baharu dalam usaha memulihkan semangat dan prestasi pasukan.

Annuar pernah menerajui KAFA selama lebih sedekad merupakan individu yang memainkan peranan besar dalam kebangkitan bola sepak Kelantan pada era 2009 hingga 2013.

Di bawah kepimpinannya, The Red Warriors muncul sebagai antara pasukan paling digeruni dalam Liga Malaysia apabila merangkul kejuaraan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Ketika itu, Stadium Sultan Muhammad IV sentiasa dibanjiri penyokong fanatik yang menjadi tulang belakang kebangkitan pasukan negeri ini.

Annuar turut menegaskan bahawa kejayaan hanya dapat dicapai dengan semangat perpaduan dan kesediaan semua pihak untuk berkhidmat demi sukan, negeri dan negara.

“Satu syarat… bersatu hati dan bersedia berkhidmat, demi sukan, demi Kelantan dan bola sepak negara,” ujarnya penuh semangat.

Beliau menutup kenyataannya dengan laungan semangat buat penyokong dan pemain:

“Ayuh… Ayuh… Ayuh Kelate Ku… Musim iniiiii… kita mahu menang!” – HARAKAHDAILY 23/5/2025

- Advertisement -