
KUALA LUMPUR: Penangguhan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula 23 Jun kepada tarikh baharu 21 Julai hingga 28 Ogos 2025 menimbulkan pelbagai persoalan terhadap kewibawaan kerajaan hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan keadaan ini sebagai satu lagi manifestasi sebuah kerajaan yang gagal menunjukkan kesegeraan dan kejelasan dalam mengurus agenda negara.
“Penangguhan ini menjadikan tempoh Parlimen tidak bersidang kali ini selama 137 hari – iaitu tempoh ketiga terpanjang dalam sejarah negara selepas penggantungan Parlimen susulan rusuhan 13 Mei (648 hari) dan darurat COVID-19 pada 2021 (195 hari),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, sidang khas sehari yang berlangsung baru-baru ini tidak boleh diambil kira kerana ia bersifat teknikal dan hanya tertumpu kepada isu tarif.
“Jika dahulu darurat berlaku kerana rusuhan kaum dan wabak penyakit, apakah alasan kali ini? Adakah kerana terlalu sibuk dengan pemilihan parti? Atau kerana sedang menyusun rombakan kabinet menjelang peletakan jawatan yang dijangka berlaku?
“Atau kerana draf RMK13 masih belum siap akibat terlalu banyak ‘misi luar negara’?” persoal beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap signifikan penangguhan itu.
Beliau turut menyindir bahawa kelewatan ini hanya menggambarkan satu keadaan, iaitu kerajaan hari ini hilang arah dan terlalu bergantung kepada helah politik demi kelangsungan kuasa.
“Demikianlah hikayat kerajaan cacamarba. Soal rakyat diketepikan, sidang Parlimen yang sepatutnya menjadi medan perbahasan dasar ditunda sesuka hati.
“Rakyat sedang bergelut dengan isu kos sara hidup, ekonomi lembap dan kepercayaan yang makin merosot – tetapi kerajaan masih leka bermain strategi dalaman,” ujar beliau.
Fadhli menyeru agar rakyat lebih peka dan menilai sendiri kegagalan demi kegagalan yang kian terserlah dalam pentadbiran kerajaan campuran hari ini. – HARAKAHDAILY 23/5/2025











