URA beri kelebihan kepada pemaju, abai penduduk asal

Bukan antipemodenan atau antikemajuan

Dato' Seri Mukhriz Mahathir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat tergesa-gesa dalam membentangkan Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) tanpa penjelasan menyeluruh mengenai kesan dan implikasinya terhadap rakyat.

- Advertisement -

Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan lebih cenderung menuduh pengkritik URA sebagai antipemodenan dan antikemajuan orang Melayu, daripada memberikan ruang untuk perbincangan yang matang dan terbuka.

“PEJUANG menyanggah kritikan yang dilontarkan oleh wakil-wakil Madani ke arah mereka yang mempersoal keperluan atau intipati RUU itu sendiri. Ujar mereka kumpulan pengkritik ini hanya menggunakan sentimen perkauman.

“Walhal hakikatnya, PEJUANG tidak menolak sebarang jenis pemodenan, pembaharuan atau penambahbaikan. Syaratnya ia mestilah menurut lunas undang-undang tanpa menafikan hak rakyat tanpa mengira kaum, ras atau latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap draf yang dikeluarkan pada 26 November 2024, di mana memperlihatkan kecenderungan memberi kelebihan kepada pihak pemaju tanpa mengambil kira hak penduduk asal yang telah lama menetap di kawasan terbabit.

Jelasnya, kebimbangan utama pihaknya ialah skop URA yang terlalu luas, termasuk penukaran kategori tanah, pecah sempadan, pencantuman tanah, di mana ia bukan sekadar pembaikan fizikal seperti digambarkan oleh pihak kerajaan.

“Kawasan di mana ia akan berkuatkuasa mencakupi keseluruhan negara kecuali Sabah dan Sarawak. Pembaharuan semula bandar boleh dikenakan ke kawasan bandar yang penduduknya melebihi 10,000 dan atau kawasan pusat pentadbiran daerah yang penduduknya kurang dari 10,000.

“Ini bermakna semua kawasan perumahan yang lama akan tertakluk di bawah URA. Ia juga seolah satu mekanisme yang akan menguntungkan pemaju semata-mata, tanpa perlu memberi pertimbangan kepada kepentingan penduduk asal,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa agar RUU URA itu tidak melanggar dasar-dasar pemilikan serta hak pemilik dibawah Perlembagaan Persekutuan, di mana tidak boleh ada paksaan kecuali melalui pampasan yang adil.

“RUU URA tidak boleh bercanggah dengan konsep yang mendasari perlembagaan negara kita. Pembaharuan dan pemodenan itu penting. PEJUANG tidak sesekali mahu lihat bangunan di Malaysia ini lusuh dan lekeh.

“Tetapi apa jaminan bahawa rakyat kebanyakkan, khususnya orang Melayu akan dapat kekal berada di tempat tinggal mereka sekiranya pembaharuan ini membawa kepada bebanan kos kehidupan akibat URA?

“Janganlah kerana URA, orang biasa, marhaen, miskin dihambat jauh ke pinggir. Perlu ada mekanisme jelas yang memastikan kawasan-kawasan kota dan bandar-bandar didiami oleh pelbagai lapisan masyarakat agar identiti Malaysia itu tidak dilarut arus pemodenan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -