Beras Cap Feri hanya gimik kosmetik – ADUN PN

Kerajaan Pulau Pinang gagal bela pesawah

ADUN Perikatan Nasional Pulau Pinang
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional Pulau Pinang membidas kegagalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mengangkat martabat pesawah tempatan melalui pelaksanaan produk Beras Cap Feri.

- Advertisement -

Menerusi satu kenyataan media bersama, mereka menyifatkan ia hanya sebagai gimik promosi tanpa manfaat sebenar kepada pengeluar padi, sekali gus kegagalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri.

Bidas mereka, Exco itu gagal untuk menyatakan komitmen jelas berhubung tarikh pelaksanaan penggunaan beras tempatan sepenuhnya dalam penghasilan Beras Cap Feri.

Tempelak mereka juga, ia sebagai isyarat kelemahan ketara pentadbiran negeri dalam menjayakan agenda sekuriti makanan serta keadilan ekonomi kepada pesawah.

“Kami memandang serius kegagalan Yang Berhormat (YB) Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Pulau Pinang untuk menyatakan komitmen tuntas dan tepat.

“Berhubung bilakah penggunaan beras tempatan sepenuhnya akan dilaksanakan dalam penghasilan Beras Cap Feri, satu produk yang objektifnya ialah untuk menjadi simbol agenda beras negeri,” tegas mereka dalam kenyataan tersebut.

Kumpulan ADUN PN itu menegaskan bahawa ketiadaan komitmen tersebut menunjukkan kerajaan negeri gagal mencapai matlamat serampang dua mata iaitu menjamin keterjaminan makanan.

Khususnya melalui penghasilan beras tempatan serta memberi nilai tambah dan manfaat ekonomi secara langsung kepada pesawah-pesawah tempatan.

“Ketiadaan komitmen ini menggambarkan kegagalan kerajaan negeri dalam menjayakan matlamat serampang dua mata, iaitu menjamin keterjaminan makanan melalui penghasilan beras tempatan.

“Dan memberi nilai tambah serta manfaat ekonomi secara langsung kepada pesawah-pesawah tempatan,” tambah mereka lagi selain menyatakan kekecewaan berikutan para pesawah tempatan masih belum menerima sebarang faedah sebenar daripada projek itu.

Sedangkan menurut mereka, projek tersebut dikatakan sebagai ‘agenda beras negeri’, tetapi beras Cap Feri itu sendiri tidak mengutamakan hasil padi tempatan, sebaliknya bergantung kepada beras import.

“Realitinya, pesawah tempatan hari ini tidak menerima manfaat sebenar daripada apa yang disebut sebagai ‘agenda beras negeri.’

“Beras Cap Feri masih tidak memanfaatkan sepenuhnya hasil padi tempatan, kerana pendekatan kerajaan negeri yang menggunakan beras import bagi menjayakan Beras Cap Feri ini.

“Malah pesawah terus dibelenggu dengan isu harga padi yang masih rendah, kekurangan sokongan input pertanian dan ketiadaan jaminan pasaran,” kata mereka.

Tegas mereka lagi, Kerajaan Negeri tidak seharusnya berselindung di sebalik kempen promosi yang penuh retorik, tanpa menunjukkan mekanisme jelas serta pelaksanaan telus.

“Kerajaan negeri tidak boleh terus berselindung di sebalik retorik promosi jenama. Tanpa mekanisme yang jelas dan pelaksanaan yang telus, Beras Cap Feri tidak lebih daripada sekadar jenama kosmetik yang gagal mengangkat martabat pesawah negeri ini,” ujar mereka.

Sehubungan itu, mereka mendesak supaya kerajaan negeri segera menetapkan tarikh pelaksanaan penggunaan 100 peratus beras tempatan dalam penghasilan Beras Cap Feri dan mengumumkan satu pelan manfaat langsung kepada pesawah-pesawah negeri.

“Maka kami mendesak agar kerajaan negeri menetapkan tempoh pelaksanaan wajib penggunaan 100 peratus beras tempatan bagi Beras Cap Feri dan nyatakan satu pelan manfaat langsung kepada pesawah tempatan.

“Ia mesti diumumkan segera agar golongan ini tidak terus menjadi penonton kepada projek beras negeri,” ujar mereka lagi.

Menurut mereka, sudah tiba masanya kerajaan negeri menghentikan segala bentuk gimik dan beralih kepada tindakan konkrit yang benar-benar menjamin keadilan ekonomi untuk para pesawah dan pengguna.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri beralih daripada gimik kepada tindakan yang menjamin keadilan ekonomi kepada pesawah dan pengguna,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -