
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat proses perolehan dan pengurusan tanah projek Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2) oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Penang Development Corporation (PDC).
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff mendedahkan beberapa isu berbangkit berkaitan cadangan pembangunan BKIP2 Fasa 1 yang bernilai RM3.5 bilion di Byram, Batu Kawan.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui PDC telah melantik syarikat Umech Land Sdn Bhd secara rundingan terus untuk membangunkan kawasan berkenaan, walaupun syarikat itu dilaporkan tidak menunjukkan sebarang pendapatan dan mengalami kerugian bersih selama lima tahun berturut-turut.

“Macam mana Kerajaan DAP Pulau Pinang dan PDC boleh buat pemilihan secara runding terus dan pilih syarikat ini? Mana proses ‘due diligence’? Semua dalam Lembaga Pengarah termasuk Pengerusi iaitu Ketua Menteri sendiri jadi tunggul kayu main luluskan je ke?” soal beliau.
Lebih mengejutkan, dua hari sebelum perjanjian ditandatangani, Sunway Group telah membeli 70 peratus saham dalam Umech Land Sdn Bhd dengan harga RM23.33 juta.
Tindakan ini menimbulkan tanda tanya bagaimana urusan tersebut berlaku sedangkan perbincangan PDC dan Umech Land sepatutnya adalah satu rahsia korporat.
PDC kemudian membatalkan perjanjian dengan Umech Land setelah menerima tekanan awam dan mengumumkan rancangan untuk membuka tender terbuka.
Namun, tender yang dijalankan pada Februari 2024 dengan harga pasaran RM38.60 per kaki persegi turut dibatalkan walaupun menerima bidaan tertinggi RM818 juta dari konsortium diketuai IJM Berhad, jauh lebih tinggi daripada tawaran asal Umech Land.
“Kalau takde orang kecoh, dah lama tanah tu lesap dengan harga RM26.53 per kaki persegi,” tegas Nurul Islam, sambil menyatakan bahawa tindakan itu menunjukkan kelemahan pengurusan dan ketelusan pentadbiran DAP Pulau Pinang.
Beliau turut mempersoalkan alasan Ketua Menteri yang menyatakan bahawa penangguhan dan pembatalan perjanjian menyebabkan kerajaan negeri menanggung beban pinjaman bank, dan menyifatkan alasan tersebut sebagai tidak munasabah serta merugikan rakyat.
“Dah tiba masa SPRM masuk dan siasat PDC dan keseluruhan proses perolehan ini kerana ia melibatkan kerugian dana awam yang sangat tinggi,” kata beliau lagi.
Nurul Islam turut menyindir pentadbiran negeri DAP yang selama ini sering melaungkan prinsip CAT (Competency, Accountability, Transparency), namun gagal mengamalkannya dalam isu ini.
“Kalau tak pandai urus negeri dan bina industrial park, boleh pi belajaq dengan MB Sanusi dan tengok macam mana dia urus Kulim Hi-Tech Park,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025











