
SINGAPURA: Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) menawarkan kepimpinan yang serius dan berwibawa.
Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, iaitu berbeza dengan Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang menurutnya tenggelam dalam gimik politik dan janji-janji tidak berasas.
Ucapan itu disampaikan Hamzah dalam seminar anjuran ISEAS–Yusof Ishak Institute di republik itu pagi ini yang turut dihadiri oleh cendekiawan dan pemerhati politik serantau.
Beliau mengkritik kerajaan PH-BN sebagai gabungan lemah yang dibentuk semata-mata demi kepentingan kuasa, bukan demi kestabilan negara.
“Gabungan mereka seperti minyak dan air. Tidak akan bercampur. Tidak ada keserasian, tidak ada kejujuran,” tegasnya membentang tajuk “A Bird’s-Eye View of the Malaysian Political Landscape – Building A New Consensus”.
Hamzah turut mempertahankan rekod pentadbiran PN semasa pandemik, yang menurutnya berjaya memulihkan ekonomi, melindungi pekerjaan dan meletakkan Malaysia kembali di landasan pertumbuhan.
“Dengan pertumbuhan KDNK tertinggi di ASEAN pada tahun 2022 dan penurunan kadar pengangguran, terbukti PN bukan gabungan main-main,” katanya lagi.
Beliau menyatakan bahawa masa depan Malaysia memerlukan Reset Politik Baharu yang berpaksikan kepimpinan jujur, adil dan inklusif.
PN, katanya, bersedia untuk mengambil alih pentadbiran negara dengan pelan tersusun dan berpandukan prinsip.
“Saya tidak bercakap tentang retorik. Saya bercakap tentang konsensus nasional yang merentasi kaum dan agama, dibina atas dasar matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus berperikemanusiaan,” katanya.
Menyentuh gaya pentadbiran Perdana Menteri kini, Hamzah menggunakan analogi perlawanan bola sepak secara sinikal yang menyindir.
“Kapten mahu main semua posisi, tidak percaya pada pasukan sendiri, dan akhirnya pasukan berpecah. Rakyat yang menonton kecewa. Separuh masa pertama sudah gagal,” ujarnya.
Beliau mengakhiri ucapan dengan seruan kepada rakyat agar bangkit membina Malaysia baharu yang lebih adil dan bermaruah.
“Kami akan betulkan ekonomi. Kami akan betulkan politik. Dan yang paling penting — kami akan bentuk masa depan. Malaysia yang lebih baik bukan sekadar mimpi, ia satu komitmen.” – HARAKAHDAILY 22/5/2025











