MB adakan lawatan kerja ke Jajahan Pasir Mas

- Advertisement -

PASIR MAS: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud hari ini meneruskan siri lawatan kerjanya dengan mengadakan lawatan rasmi ke Jajahan Pasir Mas.

- Advertisement -

Ia sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk meninjau secara dekat pentadbiran serta pembangunan di peringkat daerah.

Lawatan dimulakan dengan taklimat khas disampaikan Ketua Jajahan Pasir Mas bertempat di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, yang memperincikan isu-isu semasa, perancangan pembangunan dan potensi ekonomi di kawasan berkenaan.

Selepas sesi taklimat, rombongan Menteri Besar meneruskan lawatan ke loji janakuasa solar terapung yang sedang dilaksanakan di Tasik Danau To’ Uban.

Projek ini satu inisiatif strategik negeri bersama pihak swasta dalam meneroka sumber tenaga boleh baharu serta meningkatkan daya saing ekonomi Kelantan melalui teknologi hijau.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahli Parlimen Rantau Panjang serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili kawasan-kawasan dalam Jajahan Pasir Mas.

Selain itu, lawatan tersebut turut disertai oleh para pengarah jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan di peringkat negeri dan daerah yang hadir bagi memberikan sokongan serta maklum balas kepada pihak pentadbiran negeri.

Dalam ucapannya, Menteri Besar menyatakan keyakinan dan harapan agar Pasir Mas terus melangkah ke hadapan sebagai jajahan yang maju dan makmur, khususnya kerana kedudukan strategiknya sebagai pintu masuk utama ke negara Malaysia.

“Pasir Mas bukan sahaja kaya dengan sejarah dan budaya, tetapi juga memiliki potensi besar dari sudut perdagangan dan pembangunan rentas sempadan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Lawatan ini merupakan yang kelima dalam siri lawatan kerja Menteri Besar ke jajahan-jajahan negeri Kelantan selepas Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok dan Ketereh.

Ia membuktikan iltizam Kerajaan Negeri untuk terus mendampingi rakyat dan memperkukuh tadbir urus tempatan.– HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -