Mahasiswa perlu sokongan, bukan kekosongan janji

Sistem penyelesaian masalah daripada kerajaan

Muhammad Azamuddin Sahar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahasiswa menghadapi tekanan hidup kerana terpaksa berhempas pulas bukan hanya untuk berjaya dalam akademik, tetapi juga untuk terus hidup dalam situasi ekonomi yang kian mencabar.

- Advertisement -

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Mohammad Azamuddin Sahar berkata, ramai mahasiswa kini berdepan dengan realiti pahit di sebalik kegembiraan menjejakkan kaki ke menara gading.

“Perjuangan untuk hidup, bukan sekadar untuk belajar, malah kos sara hidup yang kian meningkat dari sewa rumah, kos makanan, pengangkutan, hingga peralatan pembelajaran menyebabkan ramai mahasiswa terpaksa melakukan dua kerja dalam satu masa:

“Belajar sepenuh masa dan bekerja separuh masa demi kelangsungan hidup. Ada antara mereka yang bekerja hingga lapan jam sehari menjadi penghantar makanan, pelayan restoran, pembantu kedai bukan kerana mahu, tetapi kerana terpaksa.

“Tidak sedikit yang hanya mampu makan sekali sehari, mencatu makanan dan menjadikan mi segera sebagai rutin mingguan. Inikah gambaran sistem pendidikan kita hari ini? Apakah ini yang kita mahu lihat daripada generasi pewaris negara?” katanya.

Beliau percaya bahawa mahasiswa bukan hanya memerlukan motivasi dan semangat mereka memerlukan sistem sokongan yang konkrit dan menyeluruh.

“Sudah tiba masanya kerajaan, institusi dan masyarakat benar-benar mendengar denyut nadi mahasiswa. Ilmu tidak akan subur dalam perut yang lapar dan fikiran yang terbeban,” katanya.

Justeru, beliau ingin mengemukakan beberapa saranan yang wajar dipertimbangkan oleh pihak berwajib demi meringankan beban golongan mahasiswa iaitu penambahan dan penstrukturan semula bantuan kewangan.

“Seterusnya, pelaksanaan program pekerjaan dalam kampus; program bantuan makanan berkala; kedai harga patut dan pasar komuniti mahasiswa; promosi biasiswa dan zakat secara menyeluruh; dan penubuhan jawatankuasa khas kos sara hidup mahasiswa,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar kerajaan tidak lagi melihat mahasiswa hanya sebagai pelajar semata-mata, tetapi sebagai insan yang sedang menjalani fasa awal kehidupan dewasa serta berdepan realiti ekonomi sebenar negara.

“Apakah kita sanggup melihat mahasiswa kita terus berjuang sendirian dalam diam, menyembunyikan lapar dan menangguh impian demi sesuap nasi? Mahasiswa bukan peminta simpati. Mereka perlukan sistem yang lebih adil, lebih berperikemanusiaan.

“Sebagai sebuah negara yang menjunjung nilai keadilan dan ihsan, kita bertanggungjawab untuk memastikan tiada pelajar yang gagal bukan kerana tiada usaha, tetapi kerana tiada pilihan,” katanya.

Terdahulu, terdapat beberapa pelajar turut mengakui peningkatan kos sara hidup menjadi isu utama yang menekan mahasiswa terutama daripada keluarga golongan M40 dan B40.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Muhammad Haziq Sabri berkata, pekerjaan sambilan paling lazim dilakukan pelajar termasuk pelayan restoran, juruwang dan pembantu jualan.

“Isu ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah berpotensi memberi kesan kepada prestasi akademik dan pembabitan mereka dalam aktiviti kampus.

“MPP UiTM Shah Alam percaya keseimbangan antara akademik dan keperluan kewangan amat penting dan sokongan sistematik perlu diwujudkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -