Sistem mengawal kebejatan Zionisme mulai rapuh

Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan sistem yang mengawal kebejatan Zionisme kini mula rapuh apabila ia dilihat semakin dipertikai masyarakat antarabangsa.

- Advertisement -

Pengerusi Lujnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat itu berkata, keseluruhan sistem yang mengawal dunia pada hari ini adalah bertujuan melindungi imperialisma Barat dan gerakan Zionisme.

Menurutnya, kewujudan negara haram Israel pada tahun 1948 adalah natijah pakatan antara imperialisme Barat yang mempunyai kepentingan ekonomi dan gerakan Zionisme yang memperjuangkan kewujudan sebuah negara untuk bangsa Yahudi.

“Justeru, untuk melindungi entiti haram ini maka diwujudkan satu sistem yang mengurus dunia pada hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perlindungan politik diberikan melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan keseluruhan cabangnya; sebagai contoh segala kesalahan dilakukan rejim dilindungi Barat khususnya Amerika Syarikat melalui kuasa veto.

“Perlindungan ekonomi pula melalui IMF dan lain-lain sistem kewangan lagi yang mengawal sistem ekonomi dunia. Perlindungan moral melalui rangkaian media antarabangsa yang membawa naratif positif dua gabungan entiti tersebut.

“Dalam masa yang sama membawa naratif negatif terhadap seterunya seperti fenomena Islamofobia dan kempen ‘war on terrorism’ dan lain-lain lagi. Entiti perfileman Hollywood juga dipergunakan untuk membawa naratif yang memaparkan imej-imej di atas,” dedahnya.

Menurutnya lagi, perlindungan keselamatan pula diberikan melalui dana pertahanan dan persenjataan yang tidak ada batas kepada negara haram tersebut sehingga menjadikannya negara terkuat di rantau Asia Barat.

Dalam masa yang sama menurut Ustaz Muhammad Khalil, jaminan pelindungan ketenteraan dibetikan daripada kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Barat.

“Pelindungan kuasa pula melalui gerakan perisikan menjatuhkan mana-mana kerajaan yang menggugat keselamatan negara haram Israel seperti apa yang berlaku di Iraq, Libya, Syria dan lain-lain lagi.

“Namun, perancangan Allah lebih hebat dari perancangan mereka,” terangnya dengan menyatakan keseluruhan sistem itu kini mula dipertikaikan masyarakat antarabangsa yang mula celik di atas kezaliman berlaku di bumi Palestin.

Bahkan kata beliau, bukan sahaja dari kalangan umat Islam, malah kini masyarakat Barat sendiri yang masih mempunyai fitrah nilai manusiawi membantah kezaliman atas Palestin.

“Umat Islam meyakini bahawa akan tiba masanya kebenaran akan menang dan kebatilan akan lenyap dan binasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -