
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan peningkatan keuntungan bersih syarikat perjudian, Sports Toto, sebagai petanda kegagalan sosial dan moral yang membimbangkan, bukannya satu kejayaan ekonomi yang wajar dibanggakan.
Beliau berkata, lonjakan keuntungan bersih suku ketiga syarikat itu sebanyak 54.3 peratus kepada RM105.6 juta, dengan jumlah pendapatan mencecah RM1.9 bilion, seharusnya menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pembuat dasar dan masyarakat sivil.
“Dalam suasana ekonomi masih dibelenggu ketidaktentuan global, tekanan inflasi dan kelembapan kuasa beli rakyat, kenyataan bahawa syarikat perjudian mampu mencatat pendapatan RM1.9 bilion hanya dalam satu suku tahun bukanlah satu berita kejayaan, sebaliknya satu isyarat kegagalan sosial dan moral yang perlu dipandang serius,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Apakah makna di sebalik lonjakan keuntungan ini?
Beliau memetik kenyataan syarikat berkenaan bahawa antara faktor mendorong peningkatan hasil Sports Toto ialah jualan besar bagi Supreme Toto 6/58 Jackpot, peningkatan 20.8 peratus dalam pendapatan STM Lottery, serta tindakan menggambarkan ia sebagai minat pengguna yang ‘kekal sihat’ walaupun dalam suasana ekonomi mencabar.
“Namun persoalannya, apakah punca minat ‘sihat’ ini dalam kalangan pengguna? Adakah rakyat benar-benar berbelanja lebih kerana mereka semakin kaya, atau kerana mereka semakin terdesak dan hanya mampu berharap pada nasib?” soal beliau.
Katanya, pelbagai kajian akademik telah membuktikan bahawa peningkatan penyertaan dalam perjudian lazimnya berlaku apabila masyarakat berada dalam tekanan ekonomi dan kewangan.
Ahmad Fadhli juga merujuk kajian Grinols dan Mustard (2006) bertajuk ‘Casinos, Crime, and Community Costs’ yang menunjukkan wujud korelasi antara kewujudan kasino dan perjudian dengan peningkatan jenayah, selain membawa kerugian ekonomi bersih terhadap masyarakat setempat akibat kos sosial dan jenayah yang meningkat.
“Manakala kajian Walker dan Barnett (1999) dalam ‘The Social Costs of Gambling: An Economic Perspective’ menunjukkan bahawa golongan berpendapatan rendah lebih cenderung untuk terlibat dengan perjudian, justeru menanggung risiko kewangan dan sosial yang lebih tinggi apabila kalah.
“Dalam erti kata lain, perjudian bukan lagi aktiviti riadah, tetapi lambang keputusasaan. Fenomena ini dikenali sebagai ‘hope spending’, di mana mereka yang kehilangan arah dan pendapatan cuba ‘menebus nasib’ melalui judi,” ulasnya.
Tambah beliau, ia bukanlah tanda kemajuan, sebaliknya merupakan loceng amaran kepada kesengsaraan sosial yang sedang melanda masyarakat.
Petanda kemerosotan akhlak dan moral
Ahmad Fadhli turut menzahirkan kebimbangan terhadap nilai moral dan akhlak masyarakat yang menurutnya semakin tergadai akibat budaya perjudian yang semakin berleluasa.
“Apabila berjudi dijadikan ‘harapan’, maka kerja keras, usaha dan tawakal digantikan dengan mimpi kosong dan peluang satu dalam sejuta. Ketika outlet judi sah ditutup di Kedah dan Perlis, syarikat turut menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan aktiviti judi haram.
“(Tetapi jelas) menunjukkan bahawa permintaan terhadap judi kekal tinggi, walaupun dalam bentuk yang tidak dikawal,” terang beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Beliau berpandangan bahawa nilai kekeluargaan, keberkatan rezeki dan integriti masyarakat sedang menghadapi risiko besar untuk terhakis apabila rakyat terjebak dalam hutang, kemiskinan serta ketagihan akibat perjudian.
Realiti ekonomi vs ilusi kemakmuran
Dalam masa sama katanya, wujud ironi apabila dalam keadaan rakyat mengeluh mengenai kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi, serta peningkatan permohonan bantuan zakat dan kebajikan, syarikat perjudian masih mampu mengumumkan dividen RM80.3 juta kepada pemegang saham.
“Siapakah sebenarnya ‘yang untung’ dan siapakah ‘yang tertipu’? Apakah ini bentuk kemakmuran yang kita mahu banggakan?” soal beliau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan syarikat perjudian bukanlah petanda kemajuan ekonomi negara, sebaliknya cermin kepada realiti getir yang sedang dihadapi rakyat.
“Mereka bukan semakin mampu, tetapi semakin sanggup menggadai akhlak, nilai dan kewangan demi harapan kosong jackpot. Sebuah masyarakat yang bergantung kepada perjudian untuk meneruskan hidup adalah masyarakat yang sedang sakit.
“Dan keuntungan syarikat judi adalah angka yang mengungkapkan derita rakyat secara senyap,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











