
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menambah bilangan anggota ranger sebagai langkah memperkukuh kawalan dan mencegah ancaman gajah liar yang sering menceroboh kawasan kampung, khususnya di sekitar Tasik Kenyir, Setiu dan Kemaman.
Datuk Razali Idris berkata, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), RELA, sukarelawan, PDRM dan jabatan-jabatan berkaitan.
“Kita bincang dan ada beberapa formula serta cadangan untuk pastikan gajah tidak lagi masuk ke kampung. Kita akan gunakan bajet khusus bagi Teknologi Pagar Elektrik (Electric Fence Technology) dan dalam masa sama, tambahkan lagi anggota Ranger.
“Setakat ini, tindakan pasukan Ranger Basung terbukti berkesan. Dilaporkan tiada lagi gajah masuk ke kampung. Apabila mereka kesan kehadiran gajah, mereka akan dekati haiwan itu dan biasanya gajah akan berundur kerana bau manusia,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri itu berkata demikian pada sidang media selepas lawatan tapak pembangunan Restoran Panorama, Bukit Pak Apil, di sini semalam.
Menurut Razali, kawalan secara fizikal dan rondaan malam oleh pasukan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai agensi dan komuniti setempat turut membantu mengurangkan insiden pencerobohan gajah ke kawasan penempatan.
“Kita jadikan balai raya sebagai pos kawalan dan anggotanya termasuk RELA, PDRM, pertanian serta sukarelawan yang buat rondaan setiap malam. Setakat ini, setelah pasukan Ranger diwujudkan di kawasan Basung, belum ada lagi kejadian gajah masuk kampung di situ,” katanya.
Mengulas penggunaan senjata terhadap haiwan tersebut beliau berkata, walaupun wujud peruntukan yang membenarkan tindakan menembak haiwan berbahaya dalam keadaan tertentu, kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang untuk mengambil pendekatan itu.
“Memang ada akta di bawah PERHILITAN, jika berlaku ancaman dan tiada pilihan lain, tindakan boleh diambil. Tapi untuk sekarang, kita tidak bercadang menyakiti mana-mana gajah.
“Kita tahu gajah di Terengganu ada dalam 300 hingga 400 ekor dan kebanyakannya tidak bermasalah, cuma ada satu dua yang sahaja yang masuk kampung,” katanya.
Tambah Razali, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan cadangan penggunaan pencahayaan (high mast light) sebagai langkah tambahan kawalan, selain akan meneruskan perbincangan secara berkala dengan semua pemegang taruh.
“Cadangan itu kita ambil kira dan kita akan gunakan. Insya-Allah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











