
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal menjadi titik tolak penting kepada nasib orang Melayu di negara ini yang pada hari ini dapat disaksikan semakin hilang pengaruh politik khususnya di kawasan bandar.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali berkata, terdapat banyak perkara melibatkan keistimewaan orang Melayu seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan agensi-agensi kerajaan yang kini mula ‘diusik’ oleh pihak tertentu.
“Kita tidak boleh patah balik di Pulau Pinang, kita tidak boleh patah balik di Singapura. Kita dah hilang banyak kerusi parlimen di Kuala Lumpur. Hampir sembilan daripadanya terdiri daripada bukan Melayu.
“Dulu orang Melayu ramai baik di Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa dan banyak lagi. (Sekarang) Kalau ada yang Melayu pun, mereka akan jadi ‘pak turut’ kepada parti ‘chauvinist’. Ini yang kita risau, Melayu yang tiada jati diri, membahayakan bangsa sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif ‘Menjelang Himpunan Berdaulat 24 Mei’ di laman TikTok Perspektif 360 yang disiarkan secara langsung, lewat malam tadi.
Justeru, beliau menggesa orang ramai untuk segera bersatu demi kepentingan bangsa Melayu di masa hadapan.
“Kita rayu kepada pemimpin-pemimpin Melayu, ketepikan perbezaan politik. Pergi berjumpa, berbincang, mengalah dan jangan tamak demi kepentingan Melayu. Kalau kita tidak bukan kali ini, kita akan terus jatuh.
“Kita dapatkan kuasa balik dan perbetulkan apa yang sudah hilang sebelum ini. Kita perkukuhkan lagi, perkasakan dan tambah lagi kepentingan Melayu supaya kita boleh gubal undang-undang.
“Mengetatkan hak kita itu supaya tiada siapa lagi boleh usik selepas ini. Kita akan bersatu dengan pemimpin-pemimpin yang bersih, pemimpin yang sayangkan bangsa dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











