PAS sedia tadbir negara, kepakaran pelbagai bidang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff, berpandangan PAS mempunyai keupayaan untuk mentadbir Malaysia berdasarkan kepelbagaian latar belakang serta kelebihan yang dimiliki oleh parti itu sejak sekian lama.

Beliau juga berkata, PAS dilihat tidak berdepan dengan masalah untuk memegang portfolio Menteri Agama memandangkan parti itu memiliki ramai golongan ulama.

“PAS ada ramai ulama. Portfolio Menteri Agama tiada masalah,” ujar beliau yang juga Pengarah Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Selangor dalam media sosial miliknya.

Katanya, PAS telah lama mengembangkan pendidikan Islam melalui PASTI, SRITI dan SMITI, sekali gus membuktikan parti itu tidak bermasalah untuk mengurus portfolio Menteri Pendidikan, sedangkan sebelum ini peguam juga pernah dilantik ke jawatan tersebut.

Menurutnya, PAS turut memiliki beberapa kolej pendidikan tinggi sendiri seperti Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), yang menunjukkan kemampuan mengurus hal ehwal pendidikan tinggi negara.

Beliau turut menyatakan PAS mempunyai saintis dan pakar dalam bidang aeroangkasa, justeru portfolio Menteri Sains dan Teknologi juga tidak menjadi masalah untuk diuruskan oleh parti berkenaan sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

“PAS ada ramai sekali petani-petani moden. Portfolio Menteri Pertanian tiada masalah. Menteri Pertanian dulu juga asalnya PAS. PAS ada bekas pegawai tinggi tentera. Portfolio Menteri Pertahanan tiada masalah. Ahli korporat dan pakar kulinari pun boleh jadi Menteri Pertahanan,” terangnya.

Beliau berkata, kehadiran akauntan dan ahli ekonomi dalam PAS menunjukkan parti itu boleh memegang portfolio Menteri Ekonomi dengan baik, malah menyifatkan orang PAS jarang merajuk dan formula yang dibawa parti itu tidak pelik.

Katanya, PAS memiliki entiti seperti Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia yang membuktikan kecekapan mereka dalam portfolio kebajikan masyarakat serta pengurusan bencana, malah sering menjadi antara pihak terawal sampai memberi bantuan.

“PAS ada ramai pemimpin wanita. Maka portfolio Menteri Wanita tiada masalah. Wanita PAS benar-benar wanita. PAS ada ramai sekali doktor perubatan. Portfolio Menteri Kesihatan tiada masalah. Doktor-doktor PAS sentiasa berkhidmat bantu masyarakat.

“PAS memang sentiasa bergelumang dengan masyarakat desa. Maka portfolio Menteri Kemajuan Desa tidak ada masalah. PAS sudah tentu tidak rasuah,” ulasnya.

Katanya, PAS turut memiliki Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), justeru portfolio Menteri Perpaduan juga tidak menjadi masalah, malah beliau menyatakan negeri Kelantan boleh dijadikan model asimilasi dalam konteks perpaduan.

Yusfarizal berkata, PAS memiliki ahli akademik, profesional dan teknokrat, sama ada yang telah menonjol mahupun masih belum diketengahkan, dan mereka ini boleh menyumbang kepada pentadbiran negara apabila tiba masanya.

Menurutnya lagi, PAS mempunyai Majlis Syura yang sentiasa memandu parti berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, sekali gus menjamin pegangan parti tidak akan terpesong kerana keputusan tidak dibuat oleh satu individu semata-mata.

“Insya-Allah, jika PAS diberi peluang, PAS sudah bersedia. Yang komen di bawah selepas ini hanyalah berkisar tentang 3 hujah sahaja iaitu (a) PAS banyak kalah kes fitnah, (b) Kelantan mundur, (c) PAS tunggang agama. Benda tak perlu jawab dah.

“Oh satu lagi, PAS juga sedang buat pemilihan parti. Tapi ahli PAS tidak berkempen di hotel-hotel, tidak guna wang untuk dapat ‘jackpot’, tidak buka pekung sendiri, tidak merajuk pelik-pelik, tidak amalkan nepotisme terpimpin dan tidak hiruk pikuk. Pemilihan PAS tenang dan sejahtera. Adalah kekadang kocak tapi tidak nampak,” sinisnya.

Menurut beliau, PAS bukanlah sebuah parti sempurna, namun dari segi kesediaan untuk mentadbir negara, PAS mempunyai asas kukuh serta struktur yang boleh membantu menjayakan misi pentadbiran sekiranya diberi kepercayaan.

“PAS sempurna? Tentunya tidak. PAS boleh mentadbir? Benda dah jelas. Kita cerita parti kita sahaja.

“Setiap parti ada kelebihan masing-masing, tetapi untuk terus bertanya dan berprasangka bahawa PAS tidak mampu mentadbir, sudahlah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -