
KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan teguran bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (LGE) terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai bukti berlakunya kegagalan urus tadbir dalam pentadbiran negeri itu.
Beliau berkata, Pulau Pinang sememangnya sinonim dengan pembangunan pesat, pelaburan teknologi dan tarikan pelancongan, namun hari ini nama negeri hangat bukan kerana makanan atau pemandangannya, tetapi disebabkan teguran serius LGE.
“Sebagai tokoh yang pernah memimpin negeri ini selama dua penggal (2008–2018), suara LGE tentunya bukan calang-calang. Bila beliau mula bersuara lantang, ramai tertanya, apa sebenarnya yang berlaku?
“Walaupun sering kedengaran hubungan kurang baik di antara LGE dengan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika ini, namun sudah tentulah teguran panjang lebar LGE akan menambahkan lagi keyakinan awam bahawa hubungan kedua-duanya semakin renggang,” katanya.
Antaranya, beliau memetik kenyataan LGE yang mempersoalkan bagaimana rizab hasil negeri boleh jatuh menjunam hanya dalam tempoh lima tahun, iaitu daripada RM1.15 bilion pada 2019 kepada RM43 juta sahaja menjelang Mei 2025.
Katanya, LGE turut membangkitkan isu urus niaga tanah seluas 559 ekar di Byram yang dijual secara terus kepada syarikat UMECH dengan harga RM646 juta, sedangkan terdapat konsortium lain diketuai IJM yang menawarkan RM818 juta.
“Kenapa tawaran lebih lumayan ditolak? Kenapa rundingan dibuat semula dengan harga yang lebih rendah? Soalan yang adil dan patut dijawab dengan jelas,” jelasnya.
Beliau turut memetik persoalan dibangkitkan LGE berhubung hutang kerajaan negeri kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang meningkat lebih RM300 juta dalam masa kurang dua tahun.
Begitu juga petiknya, ketidakpuasan hati disuarakan LGE dalam isu pemberian bonus enam bulan gaji kepada kakitangan PDC dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Katanya, LGE juga menyuarakan kebimbangan terhadap program bantuan rakyat seperti iSejahtera yang mungkin terjejas, termasuk bantuan tunai kepada warga emas, ibu tunggal dan pelajar, sekiranya keadaan kewangan negeri terus meruncing.
“Inilah perkara yang betul-betul menyentuh hati rakyat biasa. Lebih-lebih lagi hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan bahawa kerajaan negeri telah membuat pembelian sebanyak 15 kenderaan bagi kegunaan kerajaan negeri.
“(Ia) termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, iaitu berupa kereta Toyota Camry 2.5V dengan perbelanjaan RM3.31 juta!
“Teguran Lim Guan Eng ini bukan sekadar perbalahan dalaman politik. Ia isyarat kepada kita semua bahawa sebagai rakyat, kita perlu cakna dan kritikal terhadap pengurusan negeri.
“Tak kira siapa yang memerintah, yang penting ialah ketelusan, akauntabiliti dan keutamaan terhadap rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











