
GEORGE TOWN: Ustaz Muhammad Fauzi Yusof menyifatkan langkah kerajaan negeri untuk menaikkan bayaran dan memperhebat kutipan cukai tertunggak sebagai bukti kegagalan tadbir urus kewangan negeri yang akhirnya membebankan rakyat.
Beliau merujuk laporan Free Malaysia Today, 19 Mei 2025 bahawa kerajaan negeri sedang berdepan kekangan aliran tunai dan bercadang mengambil langkah-langkah drastik termasuk menaikkan caj dan mempergiat usaha mengutip cukai tertunggak daripada rakyat.
Menurut beliau, pengumuman tersebut mengundang pelbagai persoalan terhadap kecekapan pentadbiran negeri yang selama ini mendabik dada kononnya memiliki rekod pengurusan kewangan cemerlang.
Namun bidas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang itu, hakikat sebenar yang terserlah kini menunjukkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berada dalam keadaan sebaliknya.
“Prestasi kewangan negeri Pulau Pinang jelas merosot apabila Tabung Kumpulan Wang Disatukan menunjukkan penurunan mendadak. Akaun Hasil mencatatkan penurunan sebanyak 52 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya.
“Manakala Akaun Amanah Disatukan juga menurun sebanyak 2.9 peratus,” katanya pada sidang media Ketua Pembangkang, di sini hari ini dengan merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan pada Oktober 2024.
Ujarnya lagi, situasi kewangan yang tidak stabil ini lebih membimbangkan apabila dibandingkan dengan peningkatan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak 13.9 peratus, sedangkan hasil negeri menurun 0.4 peratus dalam tempoh sama.
Keadaan ini kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua itu, amat tidak seimbang dan menunjukkan kegagalan dalam menyusun keutamaan serta kawalan perbelanjaan negeri.
“Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, Pulau Pinang akan berdepan risiko kehilangan keupayaan tunai secara kritikal, terutamanya untuk menampung perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran termasuk bayaran gaji penjawat awam negeri,” tegas beliau.
Tegas Ustaz Muhammad Fauzi, kerajaan negeri tidak sepatutnya mengambil jalan pintas dengan menekan rakyat melalui kenaikan caj dan bayaran demi menampung kelemahan pengurusan sendiri.
Beliau berpendapat, pentadbiran negeri wajar mengemukakan pelan pemulihan kewangan negeri dengan jelas dan menyeluruh untuk jangka masa lima tahun akan datang bagi menangani risiko-risiko yang ada secara tuntas dan berkesan.
Selain itu, beliau turut menyeru kerajaan negeri menyemak semula semua jenis perbelanjaan dilakukan dan membuat penilaian teliti antara perbelanjaan yang benar-benar penting dan boleh ditangguhkan.
Keutamaan tegasnya, perlu diberikan kepada urusan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan bukannya perbelanjaan bersifat kosmetik atau politik.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga perlu memperbetulkan struktur dan prosedur pentadbiran agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepada kelemahan sistem pengurusan kerajaan yang sedia ada.
“Sebagai pembangkang, kami akan terus membawa suara rakyat dan memainkan peranan semak imbang supaya rakyat tidak dizalimi oleh kelemahan pentadbiran.
“Rakyat Pulau Pinang berhak mendapat sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan tahu meletakkan keutamaan dengan betul,” ujar beliau lagi.
Ustaz Muhammad Fauzi berkata, kerajaan yang baik bukan sahaja bergantung kepada angka atau persepsi kejayaan, tetapi pada kebolehan sebenar dalam mengurus kewangan dengan berhemah tanpa menjadikan rakyat sebagai sasaran apabila berlaku kepincangan pentadbiran. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











