
KUALA LUMPUR: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menggesa orang ramai agar sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana banjir serta berwaspada terhadap peningkatan semula kes Covid-19 di rantau ini.
Pengarah Khidmat Malaysia Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Shawn Loh Sheng Nian dalam kenyataan dikeluarkannya telah berkata, banjir yang melanda saban tahun kini semakin serius dan sukar dijangka.
“Punca utama dikenal pasti ialah perbezaan suhu cuaca yang ketara yang menyumbang kepada peningkatan luar biasa jumlah hujan setiap tahun.
“Khidmat Malaysia mengemas kini ramalan cuaca di platform rangkaian maklumat setiap hari supaya orang ramai boleh bersiap sedia untuk menghadapi hari hujan.
“Adalah dikesalkan kerana orang ramai tidak menunjukkan pengendalian dan pencegahan yang lebih tenang dan betul sebagai tindak balas terhadap banjir,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil pula menyeru agar orang ramai untuk mengikuti ramalan cuaca harian yang dikemas kini oleh Khidmat Malaysia menerusi laman web khidmatmalaysia.net dan laman Facebook rasmi Khidmat Malaysia.
Beliau juga menyeru agar masyarakat memahami panduan kecemasan, mengenai manual menyelamat dan kekal tenang dalam menghadapi sebarang bencana.
Dalam pada itu, Sheng Nian turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan semula kes Covid-19 di beberapa negara jiran, termasuk Singapura dan Thailand.
Beliau berkata, walaupun vaksin dapat mengurangkan risiko, ia tidak memberikan imuniti sepenuhnya, justeru, penjagaan kesihatan kendiri masih sangat penting.
“Singapura merekodkan peningkatan kes mingguan daripada 11,100 kepada 14,200 awal Mei, manakala Thailand mencatatkan 16,607 kes dalam tempoh yang sama, dengan enam kematian dilaporkan dan dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, China juga melaporkan hampir 20,000 kes di wilayah Guangdong dalam masa sebulan, dan Taiwan kini menghadapi kekurangan bekalan alat ujian.
Tambah beliau, walaupun peningkatan ini dijangka tidak akan melebihi kemuncak terdahulu, warga emas dan pesakit kronik masih tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.
“Jika mereka mempunyai simptom, mereka harus mendapatkan rawatan perubatan tepat pada masanya dan menerima rawatan secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, gelombang baharu Covid-19 kini melanda beberapa bahagian di Asia Timur dan Asia Tenggara termasuk Hong Kong, Singapura, China, Filipina dan Thailand, dengan peningkatan mendadak kes yang dilaporkan.
Pegawai kesihatan di Hong Kong mengesahkan wilayah itu sedang mengalami gelombang baharu Covid-19 apabila kadar sampel pernafasan yang diuji positif melonjak daripada 1.7 peratus pada Mac kepada 11.4 peratus, lebih tinggi daripada kemuncak pada Ogos 2024.
Justeru, Khidmat Malaysia mengingatkan masyarakat agar tidak lalai dalam menghadapi dua ancaman ini iaitu bencana banjir yang semakin serius dan penularan semula wabak Covid-19.
Orang ramai diingatkan untuk terus berwaspada, bersedia dan bertindak pantas dalam sebarang situasi kecemasan. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











