
KUALA LUMPUR: Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff menyelar tindakan DAP berhubung kritikan mereka terhadap Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sewaktu Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning baru-baru ini.
Beliau mengingatkan DAP agar tidak terlalu angkuh dan menghina negeri lain, terutamanya Terengganu, berhubung isu bonus Aidilfitri kepada penjawat awam.
Pengarah Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat itu menegaskan bahawa kelewatan itu berpunca daripada tindakan Kerajaan Persekutuan yang ‘memegang’ dana Terengganu atas sebab politik.
“Sedangkan semua orang tahu itu adalah hak rakyat Terengganu yang ‘dipegang’ oleh Kerajaan Pusat atas sebab politik. Nak kena minta baru boleh diberi,” katanya.
Beliau turut menyentuh tindakan Ketua Pemuda DAP dan akaun rasmi media sosial DAP yang sebelum ini menghentam Dr Samsuri serta membandingkan Pulau Pinang sebagai model pentadbiran unggul.
Namun, menurut Nurul Islam, prestasi kewangan Pulau Pinang yang dibanggakan kini dilihat rapuh apabila kerajaan negeri terpaksa memohon pendahuluan RM100 juta daripada Kerajaan Pusat bagi menampung jangkaan defisit RM500 juta bagi tahun 2025.
“Kalau korang tengok data yang aku sertakan, hasil kerajaan negeri tak bertambah sangat pun dan kekal sekitar RM500 hingga RM600 juta. Tapi belanja meningkat sampai RM1 bilion.
“Hasil tak naik, belanja besar, akhirnya duit dalam akaun tinggal RM50 juta je,” katanya sambil merujuk Laporan Audit Negara 2019 hingga 2023.
Beliau juga mempersoalkan ketelusan unjuran hasil RM906.6 juta untuk 2025 yang didakwanya tidak realistik dan dibuat tanpa pelan jelas.
Malah, katanya, hanya selepas lima bulan tahun 2025 berjalan barulah Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan pelan 24 langkah untuk menambah hasil, antaranya menaikkan cukai dan menyemak semula bantuan rakyat.
“Bila dah susah, orang pertama yang jadi mangsa adalah penjawat awam dan rakyat. Padahal, lebih 85 peratus penjawat awam adalah orang Melayu dan Islam,” tegasnya.
Nurul Islam turut menyindir bahawa jika tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan seperti projek LRT, lebuhraya dan naik taraf lapangan terbang, Pulau Pinang mungkin sudah menghadapi krisis kewangan yang lebih parah.
“Tulah DAP, lain kali jangan cakap besar. Kan dah malu nak kena mengemis dengan Kerajaan Pusat. Bak kata Haaland, ‘stay humble eh, stay humble’.” – HARAKAHDAILY 21/5/2025










