Hubungan PH-BN Johor dilihat semakin meruncing

Khairul Faizi
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor dilihat semakin tegang apabila pemimpin kedua-dua pihak dilihat saling berbalas kenyataan melalui media.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil, keadaan tersebut menggambarkan keretakan kerjasama antara dua komponen utama Kerajaan Perpaduan itu di peringkat negeri.

Menurut beliau perkembangan semasa tersebut juga menunjukkan ketidaksefahaman semakin ketara, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

“Seminggu yang lalu, saya ada menulis untuk memberi respon terhadap kenyataan sahabat lama saya iaitu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkaitan kesediaan PH Johor untuk bertanding solo dalam PRN Johor yang akan datang.

“Semalam saya ada memuat naik dalam blog saya, berita berkaitan kenyataan Ketua Pengimbang di Johor bahawa PH Johor tiada hasrat untuk menjatuhkan kerajaan BN ketika ini.

: Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor dilihat semakin tegang apabila pemimpin

“Namun agak mengejutkan apabila Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mendesak Umno-BN Johor supaya menyatakan pendirian sama ada akan berlaku pertandingan dua penjuru ataupun tiga penjuru dalam PRN Johor nanti,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat secara terbuka itu menimbulkan persoalan tentang sikap sebenar PH Johor terhadap hubungan mereka dengan BN di negeri tersebut.

“Seperti yang kita maklum, PH di Johor masih berada di blok pengimbang atau pembangkang sedangkan di peringkat Kerajaan Pusat, mereka adalah kerajaan bersama di atas nama kerajaan Perpaduan.

“Kenyataan Ketua Pengimbang, Andrew Chen Kah Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, nampak agak lebih lunak namun saya tidak pasti apakah sebenarnya pendirian PH Johor sendiri terhadap hubungan dua hala BN-PH di Johor,” katanya.

Khairul Faizi turut menyifatkan segala perkembangan ini sebagai ‘acah-acah’ politik dan menjangka akhirnya PH akan terpaksa menerima hakikat pahit hubungan mereka dengan BN Johor.

“Apa yang rakyat Johor dapat lihat ketika ini adalah hubungan BN-PH semakin meruncing di Johor sehingga masalah mereka terpaksa dibincangkan di dalam media secara terbuka,” katanya.

Terdahulu, PAN Johor mendesak BN menyatakan pendirian sama ada PRN16 akan melibatkan pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru di negeri itu.

Dzulkefly Ahmad berkata, penjelasan itu penting bagi membolehkan PH Johor menentukan hala tuju strategik dalam menghadapi PRN akan datang.

Beliau berkata, PAN Johor maklum bahawa Umno dan BN memang tidak bersedia untuk berunding bersama PH untuk kelangsungan politik di Johor, khususnya bagi berdepan PRN16.

“Apa yang menjadi pertikaian kami adalah pembentukan kerajaan di negeri ini yang tidak meraikan rakan-rakan dalam PH Johor seperti penjawatanan lantikan politik, sehingga penyokong PH Johor mula bersuara mempertikai berkenaan dengan pembentukan kerajaan di Johor.

PRN Johor dijangka diadakan selewat-lewatnya pada awal 2027 apabila tempoh penggal DUN Johor tamat sekitar Mac tahun tersebut. 

Rundingan kerusi antara PH dan BN dijangka menjadi cabaran utama, khususnya di Johor yang merupakan kubu tradisi BN.

Walaupun kedua-dua gabungan kini berkongsi kuasa di peringkat persekutuan, kesepakatan di peringkat negeri — khususnya dalam pembahagian kerusi DUN — masih belum dimuktamadkan.

Pada PRN Johor yang lalu, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, diikuti PH dengan 13 kerusi dan PN tiga kerusi. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

- Advertisement -