
SUBANG: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir mengingatkan rakyat agar memikirkan tanggungjawab moral dan akhirat dalam memilih pemimpin serta parti politik, berikutan terdapat kerajaan di beberapa negeri yang membenarkan aktiviti perjudian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan kewangan terkini Sports Toto Bhd yang mencatat keuntungan bersih suku ketiga berakhir 31 Mac sebanyak RM105.6 juta dan RM196.7 juta bagi tempoh sembilan bulan.
Ia menurut beliau, memberi gambaran jelas bagaimana industri perjudian terus berkembang pesat, meskipun beberapa negeri menutup premis pengendali sah ramalan nombor.
“Pendapatan untuk suku ini meningkat ke RM4.83 bilion. Tutup di Perlis dan Kedah (terdahulu Kelantan dan Terengganu) pun untung berlipat kali ganda,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Roslan menegaskan, rakyat di negeri yang ditadbir parti yang mengharamkan judi sewajarnya berasa lega kerana tidak memikul beban itu di akhirat kelak.
“Sekurang-kurangnya rakyat yang menaikkan parti yang mengharamkan judi di empat negeri lega dan tidak memikul beban di akhirat nanti. Bagaimana dengan kita di negeri-negeri lain?
“Kita naikkan parti yang mengizinkan judi walau mereka mampu dan berkuasa mengharamkannya sebagaimana di empat negeri yang dimaksudkan,” katanya menyedarkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi untuk menilai dengan lebih serius tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU), bukan semata-mata kerana suka-suka atau main-main.
“Fikirkanlah. Berat tugas mengundi dalam PRU ni, bukan kerja suka-suka atau main-main kerana kita semua akan dipertanggungjawabkan nanti,” katanya.
Sementara itu, laporan kewangan Sports Toto seperti disiarkan sebuah akhbar tempatan menunjukkan prestasi memberangsangkan, walaupun menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta penutupan premis mereka di beberapa negeri.
Syarikat itu menjelaskan, walaupun menghadapi penutupan di Kedah dan Perlis, pihaknya bimbang dengan pencerobohan berterusan oleh pengendali haram di kawasan yang kurang dilayani.
STM Lottery Sdn Bhd, anak syarikat Sports Toto mencatat pertumbuhan pendapatan 20.8 peratus berbanding suku sama tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 45.8 peratus, dipacu lonjakan luar biasa dalam jackpot permainan Supreme Toto 6/58.
Selain itu, HR Owen, satu lagi anak syarikat kumpulan itu, turut mencatat peningkatan hasil 14 peratus berikutan peningkatan jualan kenderaan baharu dan terpakai, dengan keuntungan sebelum cukai naik kepada RM17.9 juta berbanding RM11.3 juta sebelum ini.
Lembaga pengarah juga mengisytiharkan dividen interim ketiga dua sen sesaham, melibatkan bayaran sebanyak RM26.7 juta, menjadikan jumlah agihan dividen bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac sekitar RM80.3 juta. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











