
KUALA LUMPUR: Pergolakan dalaman PKR terus menjadi tumpuan apabila bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan serangan terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai ‘karma’.
“Ini karma,” ujar Faekah Husin ringkas seperti dipetik Sinar Harian, ketika diminta mengulas mengenai tuduhan Rafizi bahawa wujud serangan senyap terhadap dirinya menjelang pemilihan parti.
Menurut Faekah, beliau tidak berhasrat mengulas panjang, sebaliknya hanya menyatakan bahawa insiden yang berlaku terhadap Rafizi kini seperti mengulangi sejarah hitam yang pernah menimpa Allahyarham Khalid, apabila ditikam dari belakang oleh orang-orang dalam parti sendiri.
“Biarlah ia menjadi lipatan sejarah hitam yang saya sendiri berusaha untuk melupakannya. Kebanyakan cerita, memang telah diketahui ahli PKR dan rakyat Selangor,” ujarnya lagi.
Sebagai individu yang pernah mengetuai pasukan strategi politik dan pentadbiran Khalid Ibrahim, Faekah menyatakan beliau sangat arif dengan insiden dalaman parti itu, termasuk konflik yang menyaksikan pemecatan Khalid daripada PKR pada 9 Ogos 2014.
Pemecatan Khalid dikaitkan dengan keengganannya meletak jawatan sebagai Menteri Besar walaupun diarahkan pimpinan parti bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Langkah politik ketika itu dikenali sebagai ‘Langkah Kajang’, dan nama Rafizi turut terpalit sebagai antara perancang utamanya.
Kini, sejarah seperti berulang apabila Rafizi sendiri yang menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR menjadi sasaran ‘tikaman belakang’ oleh orang dalam partinya sendiri, seperti yang didedahkannya dalam siri ceramah HIRUK di Ipoh baru-baru ini.
Beliau menyifatkan budaya berpura-pura mahu berdamai tetapi menyerang secara senyap dari dalam sebagai punca utama keretakan parti dan kerosakan demokrasi dalaman PKR menjelang Pemilihan 2025.
Sementara itu, penganalisis politik melihat apa yang berlaku dalam PKR bukan lagi sekadar pertembungan peribadi, tetapi manifestasi kepada perpecahan dalaman yang semakin membesar.
“PKR kini dilihat tidak lagi mempunyai kesepaduan dan integriti dalaman yang kukuh. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil gabungan Pakatan Harapan akan menanggung akibat besar dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” ujar seorang penganalisis yang enggan dinamakan.
Pertembungan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden kali ini menyaksikan Rafizi dicabar oleh Naib Presiden parti, Nurul Izzah Anwar – anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majoriti pemimpin cabang dilaporkan telah menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah, sekaligus memberi tekanan besar kepada Rafizi dalam mempertahankan kedudukannya.
PKR sekali lagi diuji dengan pergelutan kuasa yang tidak berkesudahan – suatu realiti yang memperlihatkan wajah sebenar parti tersebut yang semakin hilang idealisme perjuangan, dan kini dihantui oleh karma sejarah yang tidak pernah selesai. — HARAKAHDAILY 21/5/2025











