Keselamatan siber DBKL perlu diperkemas

Ust Azhar Yahya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera memperkukuhkan sistem keselamatan siber susulan dakwaan serangan siber yang menyebabkan gangguan operasi dan tuntutan wang tebusan sebanyak USD55 juta (RM236.17 juta).

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata, insiden itu bukan sahaja membimbangkan dari sudut keselamatan data peribadi warga kota, malah mendedahkan kelemahan nyata sistem digital agensi kerajaan tempatan.

“Kegagalan sistem pengecaman muka di pejabat DBKL dan keperluan pengisian maklumat secara manual menunjukkan gangguan serius terhadap operasi harian,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca serangan serta memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, DBKL perlu melakukan audit keselamatan berkala serta menyediakan latihan kesedaran siber kepada kakitangan bagi mencegah insiden seumpama itu daripada berulang.

“DBKL perlu memberikan maklumat terkini kepada orang awam mengenai langkah-langkah yang diambil untuk menangani insiden ini dan memastikan data peribadi warga kota dilindungi,” gesanya.

Dalam masa sama katanya, kerajaan perlu memastikan kerjasama erat antara agensi berkaitan bagi memperkukuh infrastruktur digital negara dan menangani ancaman siber secara menyeluruh.

“Keselamatan data dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan adalah amat penting. Kami menyeru semua pihak untuk mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan siber yang kukuh demi kesejahteraan warga kota,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

- Advertisement -