
KOTA BHARU: Perbalahan rumah tangga yang diluahkan di dinding media sosial tidak akan merungkai masalah dihadapi, malah ia menjadi bibit-bibit kepada perceraian dalam hubungan suami isteri.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Asmak Husin berkata, platform terbabit tidak mampu menyelesaikan rasa kurang senang pasangan.
Beliau berkata, tiada apa yang boleh diharapkan dengan golongan netizen apabila diceritakan mengenai masalah rumah tangga secara terbuka dalam wadah Facebook, Tweeter (X) dan Instagram (IG).
“Apabila tidak puas hati kepada pasangan kita lepaskan di media sosial, apabila rasa dianiayai kita minta simpati di sana, bergaduh, berbalas mulut, berbalas cerita, nak apa sebenarnya.
“Kalau nakkan keadilan, bukan netizen tetapi hakim dan mahkamah menyelesaikan satu persatu kes dalam buat keputusan, kalau nak simpati, simpati netizen ini boleh berubah sekelip mata,” katanya.
Bekas Senator Dewan Negara itu berkata lagi, Islam telah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik melalui panduan dalam kitab suci al Quran dan tauladan dari sunnah Nabi Muhammad SAW.
Sekiranya kedua-dua pihak mahukan keadilan dipenuhi beliau berkata, netizen bukan badan yang boleh diajukan pelbagai permasalahan sebaliknya bergembira jika sesebuah keluarga musnah.
Menurut beliau, kenyataannya bukan menolak penggunaan media sosial tetapi tindakan termasuk luahan perasaan hanya membuka aib sendiri serta memusnahkan kehidupan pasca perpisahan.
“Akhirnya kita kena sedar, bercerita di media sosial boleh buka aib awak, boleh merosakkan lagi masa depan awak dan orang yang awak sayang, boleh mengucar kacirkan lagi keadaan.
“Tetapi ikut pandangan al Quran, bila berkonflik, lantiklah hakam dari kedua-dua belah berbincang penyelesaian terbaik, dia boleh jadi pakar, keluarga terdekat dan lain-lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kadar perceraian yang tinggi berlaku dalam kalangan ‘keluarga muda’ yang berkahwin di bawah usia 10 tahun iaitu individu yang berusia antara 27 dan 28 tahun.
Berdasar Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2023, kes cerai tertinggi dicatatkan dalam lingkungan usia 35 hingga 39 lelaki dan 30 hingga 34 perempuan, sinomim dengan media sosial. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











