Gaduh suami isteri jangan normalisasi di media sosial

Nur Syahira Leman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) memandang serius trend menjadikan pergaduhan rumah tangga dan paparan hubungan suami isteri secara keterlaluan sebagai tontonan umum.

- Advertisement -

Pengerusinya, Nur Syahira Leman berkata, ia bukan sahaja merosakkan maruah institusi keluarga, bahkan mengundang normalisasi budaya membuka aib demi populariti atau perhatian.

Beliau menyarankan empat langkah penyelesaian bagi pasangan yang berdepan krisis rumah tangga iaitu menyelesaikan secara dalaman antara suami dan isteri.

“Berbincang dalam suasana tenang dan menggunakan pendekatan syura kecil iaitu saling mendengar dan memberi ruang. Seterusnya, melibatkan pihak ketiga yang adil dan amanah.

“Jika tidak mampu menyelesaikan secara berdua, Islam mengajarkan untuk lantik orang tengah antaranya ahli keluarga yang adil, sahabat soleh dan dipercayai dan kaunselor rumahtangga.

“Selain itu, rujuk kaunselor profesional bertauliah atau Mahkamah Syariah jika keadaan serius melibatkan penderaan fizikal atau emosi, ancaman lafaz talak, masalah emosi yang berat.

“Ia boleh merujuk kepada pihak berkuasa seperti kaunselor keluarga Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau mana-mana institusi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat dan netizen perlu berhenti mencampuri urusan rumah tangga orang lain dan tidak menjadi batu api yang hanya menambah keretakan.

“Hormati batas, jaga adab dan doakan yang baik. SIGMA bukan mempersendakan mana-mana pihak namun seruan penuh tanggungjawab agar setiap wanita, lelaki dan pasangan muda Muslim dapat menilai kembali apa yang layak dikongsi dan apa yang lebih baik untuk disimpan.

“SIGMA percaya bahawa lelaki dan wanita yang berprinsip dalam rumah tangga akan sentiasa menjaga maruah diri, pasangan dan keluarga. Prinsip yang kukuh menjadi asas kepada kepercayaan, tanggungjawab dalam perkahwinan,” katanya.

Terdahulu, pasangan pempengaruh dan usahawan yang tular kerana bercerai ketika siaran langsung di TikTok hingga berakhir dengan lafaz cerai talak dua dengan insiden itu turut disaksikan lebih 20,000 penonton.

Pasangan tersebut sebelum ini pernah bercerai dan kembali rujuk, namun insiden terbaharu membawa kepada perceraian kali kedua. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

- Advertisement -