Lantik jurulatih tempatan berpengalaman – Annuar Musa

Annuar melayani permintaan bergambar peminat bola sepak Kelantan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan agar jurulatih tempatan yang berpengalaman bersama pasukan kebangsaan dipertimbangkan bagi menerajui skuad Kelantan bagi musim hadapan.

- Advertisement -

Menurutnya, pemilihan jurulatih perlu mengambil kira realiti semasa pasukan serta keperluan untuk melakukan penstrukturan semula secara menyeluruh.

“Ada yang minta pandangan saya siapa jurulatih Kelantan. Pada saya buat masa ini Kelantan perlu realistik dan jangan terikut-ikut rentak pasukan lain ini kerana Kelantan perlu rombak pasukan secara menyeluruh Back To Drawing board. Bina semula,” katanya.

Annuar berkata, jurulatih yang dipilih sebaiknya mempunyai pengalaman bersama skuad kebangsaan dan memahami suasana serta selok-belok liga tempatan.

Beliau turut menegaskan bahawa jurulatih yang ingin membimbing Kelantan perlu bersedia berkorban termasuk menerima skim gaji sederhana.

“Coach mesti segera dilantik sebolehnya minggu ini juga, supaya beliau punya masa yang cukup membentuk pasukan,” tegasnya.

Ujarnya, jurulatih yang dilantik perlu bijak menyusun satu pasukan baharu, dengan bajet sederhana sahaja.

“Apa pun pasukan itu mesti berkaliber tinggi dan membawa imej ‘The Real Warriors’,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025

- Advertisement -