
IPOH: Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Nurhafizul Badrul Hisham melahirkan kekesalan terhadap layanan diberikan oleh sesetengah pihak ke atas guru agama yang melibatkan diri dalam politik.
Menurut beliau, walaupun profesion seperti peguam dan doktor tidak pernah dihalang menjalankan tugas meskipun aktif dalam politik, guru agama sebaliknya sering kali disekat daripada menyampaikan ilmu di masjid dan surau hanya kerana terlibat politik.
“Seorang guru atau pensyarah belajar bertahun-tahun ilmu pendidikan. Lapangan kerja mereka di sekolah atau universiti. Bila mereka terlibat dengan politik, tidak pernah pula mereka dihalang menjalankan kerja mereka di lapangan. Mereka boleh terus mengajar di sekolah dan universiti.
“Malang buat guru agama yang belajar bertahun-tahun ilmu agama. Lapangan profesion mereka di surau masjid. Bila mereka terlibat dengan politik, mereka dihalang daripada menjalankan kerja mereka di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Perlembagaan adalah dokumen rujukan utama perundangan negara yang memberi hak dan kebebasan kepada rakyat untuk terlibat dengan mana-mana pertubuhan termasuk parti politik.
Justeru katanya, mana-mana peraturan kecil hendak diwujudkan seharusnya tidak boleh bercanggah dengan perkara yang telah termaktub jelas di dalam Perlembagaan.
“Menghalang profesion guru agama untuk terlibat dengan politik perlu diperhalusi semula kerana ia jelas satu diskriminasi dan pelanggaran terhadap hak mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Umat memerlukan panduan ilmu daripada para guru agama. Mereka belajar bertahun-tahun agar Islam yang lurus dapat disampaikan kepada masyarakat. Menyekat mereka satu kerugian buat umat.
“Tak kan lah kita nak minta individu tidak berkelayakan yang ajar agama? Silap-silap huruf alif dengan ba pun boleh tertukar. Semoga diskriminasi melampau terhadap guru agama di Malaysia dapat kita noktahkan sesegera mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











