Isu jambatan DUN Kota Putera hanya ‘separuh cerita’

Ustaz Abdul Hashim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua Pemuda PAS DUN Kota Putera, Ustaz Abdul Hashim Ab Aziz membidas tindakan individu yang menularkan isu jambatan rosak di media sosial tanpa menyemak fakta penuh.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan sengaja mencetuskan persepsi buruk terhadap wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita kena faham isu jambatan yang rosak ini bukanlah perkara baru dan jambatan kerosakan itu telahpun diterima dan PBT juga telah mengambil tindakan yang mana kerja pembaikan sedang dijalankan secara berfasa dan bukanlah sebabkan individu berkenaan ‘viral’.

“Tahulah tempat tersebut baru buat. Sebenarnya ada bahagian jambatan yang sudahpun siap dibaiki cuma individu yang ‘viral’ tersebut hanya ‘viral’ gambar atau video yang belum siap dibaiki.

“Jadi timbul persoalan siapa yang memulakan isu ini. Jadi kenapa hanya tunjukkan bahagian jambatan yang belum siap sahaja sedangkan bahagian setelah siap dibaiki langsung tidak disebut dan tidak ditunjukkan hanya menunjukkan separuh,” katanya.

Menurut beliau, penyebaran gambar atau video separuh siap tanpa konteks sebenar boleh mengundang salah faham masyarakat dan menjejaskan reputasi pihak yang sedang bekerja keras menyelesaikan masalah.

“Keadaan sebenar ini yang membuatkan dan menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap wakil rakyat. Tidak sepatutnya seseorang individu ataupun tak kiralah siapa sahaja ingin menyelesaikan masalah dengan cara merakam yang tidak lengkap.

“Kemudian menyebarkan kepada umum di mana keadilannya kepada pihak yang sedang berusaha, sedang memperbaiki menyelesaikan masalah ini secara sistematik dan berperingkat.

“Jadi tindakan sebegini bukan sahaja tidak membantu malah boleh mencetuskan salah faham, lebih menghairankan video tersebut dikatakan telah dimuat naik dan telah dipadam dalam group dan juga dalam ‘posting’ peribadi beliau.

“Jika anda berasa yakin dengan kandungan media tersebut, mengapa anda perlu memadam posting tersebut? Tindakan yang diambil adalah kerana individu tersebut sewenang-wenangnya memetik nama pemimpin kawasan.

“Seolah-olah (pemimpin itu) gagal kerana jambatan itu tidak dibaiki dan kepimpinan kawasan tidak bagus tapi bahagian yang disiap tidak ditunjuk. Jadi di situ sudah nampak isu politik yang hendak dimainkan,” katanya.

Hashim turut mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan budaya sebar ikut emosi tanpa menyemak sumber, selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan ‘tabayyun’ iaitu menyiasat sesuatu berita sebelum dipercayai dan disebarkan.

“Pihak kami sentiasa terbuka menerima teguran dan pandangan orang ramai untuk menyelesaikan masalah tak kira siapa sahaja memberi pandangan. Namun biarlah ianya disampaikan dengan cara yang beretika, sopan dan berdasarkan fakta yang lengkap dan bukannya separuh cerita sahaja.

“Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ‘fatabayyanu’; maka kamu kena siasat kena tanya dulu berita tersebut sebelum kita sebarkan sebelum kita menyampaikan berita seperti orang lain. Itulah etika dalam Islam.

“Kalau kita nak menyebarkan sesuatu berita supaya tidak jadi fitnah dan juga menjadi tanggapan buruk kepada sesiapa sahaja. Sekian akhir kata kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025

- Advertisement -