
MARANG: Program Candat Sotong anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) sempena Sail Malaysia: Passage to the East 2025 Yacht Rally berjaya menarik penyertaan pelayar dari sembilan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menyifatkan penyertaan mereka sekali gus mengangkat Terengganu sebagai destinasi pelancongan maritim bertaraf dunia.
Beliau berkata, peserta yang terlibat terdiri daripada pelayar dari Amerika Syarikat, Kuwait, Thailand, Australia, Jerman, United Kingdom, Perancis, Afrika Selatan dan Filipina.
Menurut beliau, program berkenaan memberi peluang kepada pelancong untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong, iaitu salah satu aktiviti laut tradisional yang sinonim dengan negeri ini.
“Kami sangat berbesar hati menerima pelayar dari seluruh dunia. Diharap mereka dapat bawa pulang kenangan indah dan ceritakan keunikan Terengganu kepada orang lain,” katanya ketika ditemui dalam program yang diadakan di Pulau Kapas, kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) Hilmi Hajijan dan Wakil Persatuan Pelancongan Perkapalan dan Marin Malaysia dan selaku Pengasas Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha serta Ketua Penolong Pengarah (KPP) Pembangunan, Raja Faisal Raja Harun.
Sementara itu, salah seorang peserta, Prof Khaled Karrai, pesara pensyarah dari University of Munich yang menyertai program tersebut menaiki kapal layar SV NISMA, melahirkan rasa teruja dengan pengalaman dilaluinya.
“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang. Keindahan alam semula jadi, budaya unik dan pelbagai aktiviti laut menjadikan Terengganu terus dikenali sebagai destinasi pelancongan maritim pilihan pelancong dari seluruh dunia,” akuinya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











