
DAP terus menunjukkan taring dan belangnya kepada sekutu mereka dalam Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN). Inilah kelebihan mereka apabila menguasai majoriti dalam kerajaan peringkat Persekutuan.
Di Melaka walau mereka cuma ada 4 kerusi DUN dari 28 berbanding BN 20 dan PAN 1 (selain PN 3), kekuatan mereka dengan 40 kerusi Parlimen memberi mereka keberanian untuk campuri urusan parti-parti kawan mereka.
Sebelum ini 9 cawangan DAP Melaka menuntut agar pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti diberikan sama-rata antara BN dan PH (yang didominasi DAP) iaitu masing-masing 14-14.
Mereka langsung tidak hormati kekuatan BN yang memenangi 21 kerusi dalam PRN lalu, sedang mereka cuma menang 5, dalam erti kata lain BN perlu menyerahkan beberapa kerusi menang pada PH.
Kini terbaru 15 cawangan DAP yang bermesyuarat di Jasin, Melaka menuntut pula agar pakatan PH-BN hanya mengemukakan senarai calon-calon yang tidak ekstrem atau tidak melampau dalam PRN Melaka nanti.
Walau mereka tidak menyebut nama, tetapi ramai yang membaca bahawa tuntutan ini merujuk terus kepada Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Muhammad Akmal Saleh ADUN Merlimau dalam Parlimen Jasin (EXCO Kerajaan Melaka) yang cukup kritikal dan tegas mempertahankan hak dan kepentingan Melayu Islam.
Semua 15 cawangan DAP itu meluluskan usul hanya akan menyokong calon-calon Kerajaan Perpaduan yang tidak mengamalkan politik melampau dan memecahbelahkan masyarakat.
Bermakna DAP beri kata dua, jika BN kemukakan juga calon-calon seumpama Dr Akmal, mereka tidak akan mengundi.
Sekali lagi kesabaran Umno diuji. Untuk rekod inilah pengalaman PAS dulu bila bersama DAP, mereka menekan dan mengambil kesempatan mahu men’DAP’kan PAS sehingga satu peringkat mencampuri urusan dalaman PAS dan mendesak agar PAS ‘lunak’ dalam tuntutan politk Islamnya.
PAS membuat keputusan berani memutuskan hubungan dengan DAP kerana mempertahankan prinsip serta sanggup kembali ke bangku pembangkang akibat keputusan itu.
Kini giliran Umno. Adakah Umno akan sanggup mengizinkan DAP men’DAP’kan Umno? Apakah pimpinan Umno akan membisu berdiam diri sedang DAP semakin galak dan berani mencampuri urusan rumah tangga Umno?
Ini urusan Umno dan kita serahkanlah pada mereka, tetapi sedarlah rakyat khasnya umat Melayu Islam sedang memerhatikannya. Umno tak mampu untuk terus hilang sokongan Melayu, bertindaklah segera sahabat sebelum terlambat.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang – HARAKAHDAILY 20/5/2025











