Keluarga asnaf terima bantuan TDM Berhad

Najman (kiri) menyampaikan replika cek kepada Samsuri disaksikan oleh Fakhrul
- Advertisement -

MARANG: Seramai 200 keluarga asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menerima bantuan berjumlah RM40,000 menerusi program TDM Bersama Masyarakat.

- Advertisement -

Program ini anjuran TDM Berhad dengan kerjasama Sahabat Care Marang dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

ADUN Rhu Rendang, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu selari dengan aspirasi Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan inklusif dan kebajikan rakyat.

“Program seumpama ini adalah selari dengan visi kerajaan negeri sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

“Khususnya, inisiatif seperti ini memperkukuh usaha ke arah menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri berkebajikan, di mana kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan dan akan memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada menikmati limpahan arus pembangunan.

“Kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta sebegini menjadi manifestasi kesungguhan bersama dalam memperkasakan rakyat serta merealisasikan aspirasi negeri Terengganu sebagai sebuah negeri maju, sejahtera dan berdaya tahan menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Marang, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin dan Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Daerah Zon Tengah, Fakhrul Yaacob.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, bantuan itu turut diharap mampu meringankan kos sara hidup semakin meningkat pada masa kini.

“Kalau kita lihat dari segi kos sara hidup masa kini, keadaannya semakin hari semakin mencabar dan meningkat tinggi. Justeru, segala bentuk sokongan dan inisiatif yang mampu meringankan beban rakyat adalah amat dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu Najman berkata, TDM komited terhadap pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara berterusan di seluruh negeri Terengganu.

Sebagai sebuah syarikat yang berpaksikan nilai-nilai murni, TDM sentiasa komited untuk memberi impak positif kepada komuniti di Negeri Terengganu.

“Komitmen kami bukan sahaja dalam bentuk sokongan kewangan, malah merangkumi pelbagai program yang menyasarkan peningkatan taraf hidup rakyat.

“Kami percaya, kesejahteraan masyarakat adalah asas kepada pembangunan negeri yang mampan dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata, setiap keluarga menerima bantuan tunai sebanyak RM150 serta barangan keperluan dapur bernilai RM50, sebagai sebahagian usaha meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban kehidupan harian penerima terutamanya dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Menurut beliau, program TDM Bersama Masyarakat ini merupakan siri keenam untuk peringkat DUN dan juga sebahagian daripada komitmen berterusan TDM dalam melaksanakan CSR yang memberi fokus kepada kebajikan masyarakat setempat.

“Sejak dilancarkan, pelbagai inisiatif serupa telah dijalankan di beberapa lokasi sekitar negeri Terengganu.

“Kejayaan program ini bukan sahaja diukur dari segi jumlah bantuan yang disalurkan, tetapi lebih penting lagi pada nilai-nilai kemanusiaan dan semangat keperihatinan yang berjaya disemai.

“TDM merancang untuk memperluas lagi skop bantuan CSR kepada lebih banyak kawasan memerlukan di seluruh negeri Terengganu pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025

- Advertisement -