
KUALA LUMPUR: Kos keseluruhan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dilaporkan meningkat kepada RM17.3 bilion berbanding RM10 bilion seperti diumumkan sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelusan maklumat yang disampaikan kerajaan kepada rakyat.
Perubahan ketara itu bukan sahaja melibatkan jumlah kos, malah turut melibatkan model pembiayaan apabila projek yang pada awalnya dirancang menggunakan pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP) kini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan pusat melalui syarikat milik penuh kerajaan, MRT Corp.
Penganalisis media sosial, Lim Sian See, di dalam laman Facebook, mempersoalkan bagaimana satu projek yang sebelum ini digambarkan sebagai pelaburan pihak swasta boleh berubah kepada perbelanjaan besar kerajaan dalam tempoh yang singkat.
Beliau turut merujuk laporan The Edge yang mengesahkan komitmen kewangan kerajaan terhadap projek tersebut.
Menurutnya, jumlah RM17.3 bilion itu merangkumi tiga komponen utama iaitu pembinaan landasan dan stesen bernilai RM8.3 bilion yang telah dianugerahkan secara rundingan terus kepada sebuah konsortium swasta melalui kaedah yang disebut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebagai ‘RFP Single Sourcing’.
Selain itu, pakej sistem kawalan dan set tren dianggarkan bernilai RM4 bilion dan masih dalam proses tender, manakala satu lagi pakej membabitkan kerja-kerja sivil dan pembinaan jambatan dari Jalan Macallum ke Penang Sentral di tanah besar dijangka menelan belanja RM5 bilion dan akan ditender pada suku ketiga tahun ini.
Lim juga membangkitkan kebimbangan terhadap kelangsungan kewangan jangka panjang projek itu.
Menurut anggarannya, operasi LRT tersebut bakal mencatat kerugian sekitar RM600 juta setiap tahun memandangkan populasi di kawasan pulau hanya sekitar 800,000 orang.
Katanya, tidak menghairankan jika kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri tidak berminat untuk mengambil alih aset dan pengurusan operasi selepas siap nanti kerana risiko kewangan yang tinggi boleh menyebabkan negeri tersebut berdepan defisit besar dalam tempoh kurang dua tahun.
Pendedahan tersebut sekali lagi menimbulkan persoalan terhadap keutamaan perbelanjaan kerajaan pusat, khususnya ketika banyak negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu masih memerlukan peruntukan untuk infrastruktur asas seperti bekalan air, kemudahan kesihatan dan jalan raya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











