
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada skuad sepak takraw kebangsaan atas pencapaian cemerlang dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada Ahad.
Ketua Sektor Tanggungjawab Sosial dan Khidmat Masyarakat DPPM, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed berkata, kejayaan membawa pulang dua gelaran juara dalam acara regu dan kuadran, serta muncul naib juara dalam double dan regu berpasukan membuktikan bahawa sukan warisan itu masih menjadi nadi kekuatan Malaysia di pentas Asia.
“Pemuda PAS Malaysia juga menzahirkan rasa bangga atas semangat juang tinggi yang ditampilkan para pemain negara walaupun gagal menamatkan penantian 34 tahun bagi gelaran regu berpasukan.
“Kekalahan tipis kepada Thailand tidak menafikan kualiti dan daya saing tinggi pasukan negara yang kini kembali digeruni di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini tidak datang secara kebetulan.
“Ia hasil pengorbanan, latihan konsisten dan komitmen seluruh pasukan termasuk jurulatih, pegawai teknikal dan semua pihak yang menyokong pembangunan sukan sepak takraw di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
DPPM dalam pada itu menyarankan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memperkukuh program pembangunan bakat dan sokongan logistik.
Ia termasuk memberi perhatian kepada kebajikan atlet dan keperluan teknikal demi memastikan momentum kecemerlangan ini terus dipacu hingga ke kejohanan-kejohanan antarabangsa akan datang, khususnya Piala Raja Thai dan Sukan SEA.
“Sukan seperti sepak takraw bukan sekadar medan persaingan fizikal, malah menjadi simbol jati diri bangsa dan maruah negara. Justeru, Pemuda PAS akan terus menyokong segala inisiatif memartabatkan sukan ini di peringkat akar umbi dan kebangsaan.
“Sekali lagi, tahniah kepada semua wira negara atas perjuangan yang membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu menyokong atlet tanah air. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











