
PADANG BESAR: Golongan belia di negeri Perlis membuktikan bahawa mereka bukan hanya aset masa depan, tetapi juga merupakan ejen perubahan masa kini yang mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Belia Negeri Perlis, Mohd Ridzuan Hashim berkata demikian susulan kejayaan Kelab Beliawanis Unggul Arau (KEBAL) yang menerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Perlis 2025 bagi kategori pertubuhan belia.
Menurutnya, pencapaian yang diraih oleh pertubuhan belia tempatan seperti KEBAL jelas menunjukkan bahawa belia Perlis bukan sahaja aktif dalam kegiatan riadah dan sosial, bahkan turut memiliki nilai tambah dari segi intelektual, sahsiah serta kepimpinan.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa belia Perlis mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Ia juga seiring dengan usaha Kerajaan Negeri untuk membawa Perlis ke arah kecemerlangan menerusi tema ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’,” katanya.
Majlis berprestij itu berlangsung pada 17 dan 18 Mei di Dataran Boulevard Kampus Uniciti Alam, UniMAP Titi Tinggi dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
KEBAL meraih anugerah tertinggi atas sumbangan aktif mereka dalam memperkasakan belia wanita menerusi pendekatan pendidikan kesihatan reproduktif dan pembangunan akhlak.
Antara program terpenting dilaksanakan ialah Kem Akil Baligh 2024, yang menyasarkan remaja perempuan berumur 10 hingga 15 tahun.
Kem berkenaan memberi penekanan terhadap pemahaman perubahan fizikal dan psikologi yang dialami remaja perempuan serta aspek keselamatan diri, dan telah dijalankan dengan kerjasama Persatuan Wanita Sejahtera Parlimen Padang Besar (PERMAI) di Dewan Sekolah Rendah Islam At-Taqwa.
Mohd Ridzuan turut menekankan bahawa pertubuhan seperti KEBAL membuktikan potensi besar belia Perlis dalam menjadikan organisasi belia sebagai medan pendidikan dan pembinaan jati diri yang menyeluruh.
“KEBAL membuktikan bahawa pertubuhan belia bukan sekadar pentas hiburan atau riadah, tetapi juga sebuah institusi pembinaan insan yang membentuk kepimpinan masa depan sejak usia muda,” jelas beliau.
Dalam kategori yang sama, Angkatan Belia MFLS Negeri Perlis meraih tempat kedua, manakala Persatuan Belia Banggol Sena dari Mata Ayer berada di tempat ketiga.
Penilaian bagi kategori pertubuhan berlangsung pada 5 hingga 6 Mac lalu melibatkan pelbagai kriteria termasuk keberkesanan program, struktur organisasi, dan penglibatan komuniti.
Sementara itu, kategori individu turut menonjolkan potensi hebat belia negeri ini.
Bagi kategori individu wanita, Nur Amira Ahmad Sukri dinobatkan sebagai Johan, diikuti Fatin Natrah Mazelan (Naib Johan) dan Nur Adiniy Fikriyah Mohammad Azizi (tempat ketiga).
Dalam kategori lelaki pula, Tay Tun Lian muncul sebagai Johan atas kecemerlangan akademik dan sosial, manakala Syed Ajmal Al-Qadree Syed Amran diangkat sebagai Naib Johan dan Lim Kang Sheng meraih tempat ketiga. Penilaian individu dijalankan dari 4 hingga 6 Mac 2025.
Mohd Ridzuan turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang dan menyeru agar kejayaan ini menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai belia Perlis untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat melalui wadah pertubuhan belia.
“Anugerah ini bukan sekadar penghormatan, ia adalah pengiktirafan kepada usaha gigih dan komitmen belia yang menyumbang dalam membentuk persekitaran masyarakat yang lebih progresif dan sejahtera,” tegasnya.
Anugerah Perdana Belia Negara yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merupakan penghargaan tahunan kepada individu dan pertubuhan yang cemerlang dalam memajukan agenda belia negara.
Para pemenang peringkat negeri akan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











