
KUALA LUMPUR: Pembaharuan semula bandar tidak wajar dilaksanakan dengan cara yang tidak telus serta membawa kepada penghakisan halus terhadap hak pemilik, khususnya golongan berpendapatan rendah dan pemilik strata.
Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mahfuz Roslan berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) bakal dibentang Kerajaan Persekutuan membuka ruang kepada ketidakadilan terhadap pemilik sedia ada.
“Kami mengiktiraf keperluan memperbaharui kawasan bandar lama, namun pelaksanaannya mesti dilakukan dengan penuh keadilan dan ketelusan, bukan dengan mengorbankan kedudukan pemilik sedia ada.
“Antara kebimbangan utama ialah ketidaktentuan dalam aspek pampasan dan penilaian hartanah. Sehingga kini, RUU ini tidak memperincikan kaedah penilaian nilai hartanah.
“Juga formula pampasan yang setimpal, serta jaminan bahawa pemilik asal akan dapat memiliki semula kediaman mereka selepas pembangunan,” katanya menerusi kenyataan, tadi.
Mahfuz berkata, keadaan itu boleh memaksa penduduk untuk memohon pinjaman baharu bagi mendapatkan semula tempat tinggal setara, sekaligus menafikan makna sebenar pemilikan kekal.
“Walaupun dari sudut undang-undang pemilikan kekal, namun dalam realitinya pemilik mungkin tidak lagi mampu tinggal di tanah sendiri, dan ia merupakan satu bentuk penghakisan hak secara halus yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan ketelusan kerajaan apabila senarai lebih 500 kawasan dikenal pasti untuk pembangunan semula, termasuk beberapa kawasan di Negeri Sembilan seperti Seremban, Port Dickson dan Nilai, masih belum diumumkan secara rasmi kepada umum.
“Ketidakjelasan ini menimbulkan keresahan dan menafikan hak penduduk untuk mendapat maklumat awal terhadap tanah dan hartanah milik mereka,” katanya.
Beliau berkata, percanggahan juga wujud apabila RUU URA membenarkan pembangunan semula bangunan seawal usia 30 tahun, sedangkan Jabatan Kerja Raya menyatakan bangunan hanya dianggap tidak selamat selepas 70 hingga 80 tahun.
Beliau menyoal sama ada takrifan ‘usang’ akan dibuat secara bebas dan teknikal atau sekadar alasan untuk meluluskan projek pembangunan.
“Dari sudut Islam, walaupun pemilikan tidak dilucutkan secara langsung, sebarang tekanan halus yang menyebabkan pemilik kehilangan kawalan terhadap hartanya tetap dikira satu bentuk kezaliman jika tidak diurus dengan adil.
“Maka, pelaksanaan dasar ini perlu benar-benar telus dan bebas dari eksploitasi,” tegasnya memetik ayat 188 surah al-Baqarah serta hadis berkaitan darah, harta dan maruah.
Justeru, beliau menyeru agar pembentangan URA ditangguhkan sehingga semua isu ini diperjelaskan secara rasmi kepada rakyat.
“Undang-undang yang memberi kesan kepada pemilikan, walaupun secara tidak langsung, mesti digubal dengan penuh kejujuran, libat urus terbuka dan jaminan perlindungan terhadap rakyat biasa, bukan sekadar atas nama pembangunan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











