
GEORGE TOWN: Isu pencemaran Sungai Kereh yang berpunca daripada pembuangan terbuka sisa kumbahan najis ternakan babi berterusan menghantui kehidupan penduduk di sekitar Permatang Berangan, Tasek Gelugor.
Mohd Sobri Saleh (PN-Permatang Berangan) membangkitkan perkara yang masih tiada penyelesaian walaupun aduan sudah berlarutan lebih empat dekad letika sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
“Masalah ini bukan baharu. Rungutan mengenai pencemaran ini telah berlarutan lebih 40 tahun. Saya sendiri telah membangkitkan isu ini sebanyak tiga kali dalam dewan yang mulia ini sebelum ini. Malangnya, sehingga ke hari ini, penyelesaian tuntas masih belum kelihatan,” katanya.
Bau meloyakan ganggu kehidupan
Menurut beliau, pencemaran bukan sekadar menjadikan air sungai kotor dan berbahaya, tetapi turut menyebabkan pencemaran bau yang melampau sehingga mengganggu kehidupan harian penduduk.
“Setiap hari, penduduk terpaksa berdepan dengan bau busuk yang meloyakan terutama pada waktu pagi dan petang. Ada keluarga yang tidak boleh membuka tingkap rumah mereka.
“Juga ibu-ibu tidak boleh menjemur pakaian, anak-anak tidak dapat bermain di luar, dan peniaga makanan pula terjejas teruk kerana bau busuk ini,” katanya lagi.
Tambahnya, keadaan itu memberi kesan bukan sahaja secara fizikal, malah turut menjejaskan emosi dan mental masyarakat setempat.
Ekonomi tak boleh jejas hak rakyat
Mohd Sobri dengan tegas mengingatkan kerajaan negeri bahawa kemajuan ekonomi menerusi industri penternakan tidak boleh sesekali menjejaskan hak rakyat untuk menikmati persekitaran yang bersih dan sihat.
“Kita akui bahawa industri ini memberi sumbangan kepada ekonomi negeri, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Kedua-duanya mesti berjalan seiring,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri agar tidak lagi menangguhkan penyelesaian, sebaliknya mengambil langkah segera yang konkrit dan berkesan bagi menangani isu pencemaran Sungai Kereh.
Antara cadangan yang dikemukakan beliau termasuk siasatan menyeluruh terhadap premis penternakan babi, tindakan penguatkuasaan tegas dan pelan pemulihan Sungai Kereh.
Jangan ulangi kegagalan
Mohd Sobri turut mengingatkan kerajaan negeri agar tidak menjadikan isu ini sebagai simbol kegagalan dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Rakyat sudah terlalu lama menanggung derita. Jangan biarkan isu ini berpanjangan sehingga menjadi simbol kegagalan kita dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Sudah tiba masanya kita bertindak. Bukan lagi dengan alasan, bukan lagi dengan penangguhan, tetapi dengan keputusan dan pelaksanaan yang berani dan berkesan,” tegas beliau.
Beliau turut menzahirkan harapan agar kerajaan negeri memberikan komitmen penuh terhadap isu ini, memandangkan ia melibatkan aspek kesihatan awam, keselamatan, dan kualiti hidup yang sewajarnya diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan.
“Isu ini bukan hanya tentang air sungai yang tercemar, tetapi tentang hak rakyat untuk hidup dalam persekitaran yang bersih dan bermaruah. Jangan biarkan Sungai Kereh terus menjadi bukti kelalaian kita,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2025











